Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluarannya, Zalikar Yusoff berkata, jumlah kes tersebut walau bagaimanapun menurun berbanding 152 kes pada tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes yang dikenal pasti adalah kecil dan berkurangan, namun KWSP amat memandang serius isu ini kerana telah menyebabkan berlakunya kehilangan wang ramai pencarum.

“KWSP juga telah menyena­raihitamkan beberapa kolej swasta yang dikesan bersubahat dengan sindiket penipuan pengeluaran tersebut dan tindakan ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan sekurang-kurangnya sepuluh aduan ber­kenaan sindiket tersebut diterima pihak beliau dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan, wartawan Utusan Malaysia yang menyamar sebagai pencarum mendapati sindiket tersebut turut menggunakan khidmat kolej swasta di sekitar Kuala Lumpur untuk memalsukan dokumen pengajian supaya pencarum dapat mengeluarkan wang simpanan mereka dengan alasan melanjutkan pelajaran.

Mengulas lanjut, Zalikar me­negaskan, KWSP tidak mempu­nyai pihak ketiga dalam me­nguruskan pengeluaran caruman Akaun II tersebut.

“KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga menjadi orang te­ngah kepada pencarum dan kebanyakan sindiket mengenakan jumlah komisen sebanyak 30 hingga 50 peratus ke atas ahli yang tertipu.

“Sedangkan mereka boleh memohon pengeluaran tersebut secara percuma sama ada me­nguruskan di kaunter mahupun dalam talian,” katanya.