Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1027) HARIAN METRO 7/12/2013 – AZAB 104 ROTAN –
09 Dec 2013

Headline: AZAB 104 ROTAN
Publication: HM
Date of publication: Dec 7, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: “Tangan dan kaki saya diikat, manakala
kepala ditundukkan. Tidak lama kemudian sebatan pertama singgah di punggung.
“Ketika itu saya rasa seperti langit terbuka. Azabnya
tidak terperi, hanya Allah yang tahu. Saya meraung, menjerit dan baru ingat
Tuhan.”
Itu kata seorang bekas banduan yang dikenali sebagai Botak
Chop, 53, yang meringkuk dalam penjara selama lebih 26 tahun dan disebat dengan
rotan sebanyak 104 kali secara berperingkat bermula 1992 hingga 1998.
Dia yang pernah berkongsi kamar penjara dengan penjenayah
kejam Botak Chin tersenarai dalam rekod Jabatan Penjara Malaysia sebagai antara
banduan yang paling banyak menerima hukuman sebat.
Akibat 39 kesalahan jenayah samun bersenjata api pada 1973
dan 1974, Botak Chop dijatuhi hukuman penjara keseluruhan selama 196 tahun dan
tiga bulan bermula 1974 namun dibebaskan pada 2000 selepas mendapat
pengampunan.
Dia turut dijatuhi hukuman 104 sebatan untuk semua kesalahan
itu dan pelaksanaan hukuman dibuat berasingan sebanyak lima kali.
“Kali pertama saya disebat 24 kali pada 1994, diikuti
(40 kali) pada Mac dan September 1996 serta dua set lagi (40 kali) secara
berasingan pada 1998,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas menerima
kaunseling daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.
Botak Chop berkata, pengalaman pahit dikurung dalam penjara
dan azab dirasai setiap kali menjalani hukuman sebat benar-benar
menginsafkannya dan dia berasa seperti mati hidup semula apabila diberi
pengampunan serta dibebaskan.
Bagi menebus dosa dan kesalahan pernah dilakukannya, kini
Botak Chop banyak terbabit dengan aktiviti kebajikan termasuk memberi ceramah
dengan berkongsi pengalaman hidupnya untuk menjadi iktibar kepada orang lain.
“Saya bukan ingin berbangga dengan kejahatan saya atau
berlagak seolah-olah hebat kerana pernah puluhan tahun meringkuk dalam penjara
serta disebat lebih 100 kali.
“Saya cuma ingin menebus kesalahan saya. Dulu saya
banyak buat jahat, jadi kini saya ingin buat baik pula pada orang lain.
“Saya percaya pengalaman dan kisah hidup saya amat
berguna untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain,” katanya yang
memberi ceramah kepada kumpulan kecil anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) di seluruh negara.
Mengimbau pengalaman setiap kali menjalani hukuman sebat di
penjara, Botak Chop berkata, kebiasaannya banduan akan dimaklumkan mengenai
pelaksanaan hukuman sehari lebih awal.
“Sebaik saja diberitahu mulalah rasa serba tak kena dan
sebelah malam pula, pasti tak lena tidur. Bila pagi, banduan yang menjalani
hukuman akan diasingkan sewaktu bersarapan.
“Ketika kali pertama disebat, ada 35 lagi banduan yang
menjalani hukuman itu bersama saya. Selesai makan, kami dibawa ke bilik sebat
dengan saya orang pertama terima hukuman,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian diperiksa doktor dengan dipantau
pegawai penjara sebelum disahkan sihat untuk menjalani hukuman.
“Apabila sebatan pertama hinggap di punggung, saya tak
tahu mampukah saya habiskan baki 23 lagi sebatan. Sakitnya bukan kepalang
sehinggalah sebatan terakhir.
“Rasa tak boleh digambarkan apabila daging yang terkena
rotan tersiat daripada kulit dengan darah meleleh keluar. Selepas itu, bukan
kata nak berjalan tapi nak berdiri pun rasa tak larat,” katanya.
Botak Chop berkata, setiap kali selepas disebat dia pulang
ke sel dengan penuh penyesalan dan tidur dalam keadaan meniarap selama tiga
bulan kerana tidak tahan menanggung sakit akibat luka.
“Saya dan rakan banduan saling membantu antara satu
sama lain untuk meletakkan ubat. Dalam keadaan bersusah payah itu, kami
bercerita sesama sendiri mengenai sesalan tak sudah.
“Malah, sampai sekarang, selepas lebih 20 tahun, rasa
sakit sebatan masih terasa kerana punggung rasa kebas selain kesan jaluran
dapat dilihat dengan jelas,” katanya.
Dengan badan yang masih dipenuhi tatu, Botak Chop berkata,
dia tidak mahu generasi muda mengulangi kesilapannya dulu yang hanya mengejar
hidup mewah dan keseronokan dikelilingi ramai kawan.