Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1034) BERNAMA 17/12/2013 NGO MINTA UMNO BINCANG ISU AGAMA ISLAM SECARA INKLUSI
17 Dec 2013

“Penubuhan Umno sendiri berkait dengan bangsa Melayu
dan Islam…justeru ia haruslah bertepatan dengan fungsinya,” kata PUM
KUALA LUMPUR: Di sebalik inisiatif meramaikan anggota dan
memperjuangkan bangsa Melayu, Umno juga perlu memainkan peranan lebih aktif
berhubung isu keagamaan yang semakin mencabar sekarang, kata beberapa badan
bukan kerajaan (NGO) Islam.
Mereka  meminta Umno
membincangkan usul agama secara inklusif bagi mengembalikan martabat Islam
sebagai agama persekutuan pada Perhimpunan Agung Umno 2013 pada 2 hingga 7
Disember ini.
Sebagai sebuah parti utama yang telah 56 tahun mentadbir
negara, Umno perlu memberikan tumpuan kepada aspek itu bagi memastikan agama
persekutuan tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana pihak, kata Setiausaha
Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Roslan Mohd Noor kepada Bernama.
“Penubuhan Umno sendiri berkait dengan bangsa Melayu dan
Islam…justeru ia haruslah bertepatan dengan fungsinya.
“Umno seharusnya tidak lagi sekadar memikirkan mengenai bagaimana
cara untuk meramaikan anggotanya atau memperjuangkan Melayu semata-mata…namun
penghayatan Islam itu yang perlu diutamakan kerana ia menjadi tunjang kepada
perjuangan parti,” katanya di sini hari ini.
Jelas Mohd Roslan, Islam bukan sekadar agama untuk
dipraktikkan umatnya semata-mata, namun kecantikan dan keutuhan Islam yang
terpamer akan membawa kepada keharmonian sejagat yang merangkumi pelbagai kaum.
“Perjuangan Umno sebenarnya bukan sekadar untuk anggotanya
tetapi semua rakyat.
“Isu keagamaan, isu sensitif antara masyarakat Islam dan
bukan Islam dan ianya perlu difikirkan dengan serius untuk ditangani dengan
berhemah supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Hidupkan semula Bulan Dakwah
Mohd Roslan berkata sebagai inisiatif, Umno boleh
menghidupkan semula Bulan Dakwah atau Bulan Penghayatan Islam bagi mendidik,
membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara
menyeluruh dan kontemporari.
“Program seumpama itu yang dilihat biasa sebenarnya
mempunyai impak positif yang mungkin boleh menjadi antara medium mengukuhkan
Islam dan membantu masyarakat bukan Islam mengenali keindahan Islam yang
sebenarnya,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata jentera Umno pelbagai
peringkat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meletakkan
semula Islam sebagai tonggak utama.
“Jika Islam tidak dilaksana secara jelas sehingga boleh
diperkotak-katikkan, apa makna ia (Islam) diletak sebagai agama persekutuan?
“Justeru itu kita mahu semua jentera Umno yang ada sama-sama
berusaha mengembalikan Islam di tempat yang sewajarnya agar ia terus dihormati
semua masyarakat,” katanya.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir
Amsaa Alla Pitchay pula berharap isu seumpama penggunaan kalimah Allah dan
Bible versi bahasa Melayu, pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual
(LGBT) yang masih belum berkesudahan mengisi ruang perbincangan mesyuarat Umno
kali ini.
“Selain hala tuju parti, Umno perlu membincangkan isu-isu
penghinaan agama yang berlaku termasuk gejala sosial dan keruntuhan akhlak.
“Umno parti yang sudah lama wujud, perlu membuka minda untuk
bersuara dan turun ke akar umbi menegakkan dan mempertahankan agama Islam,
katanya.