Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1072) UTUSAN MALAYSIA 2/1/2014 DAKWA PADERI ANDREW DI MAHKAMAH
02 Jan 2014

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Pelbagai pihak mahu Paderi Lawrence
Andrew diambil tindakan undang-undang kerana menghina mahkamah apabila
mengeluarkan kenyataan gereja Katolik di Selangor tetap akan menggunakan
kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan bahasa Melayu.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, kenyataan biadab Pengarang The Herald
itu juga menghina titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris yang mahu
rakyat negeri itu akur kepada larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan
Islam.
“Mahkamah sebelum ini telah memutuskan kalimah tersebut
eksklusif hanya untuk kegunaan umat Islam.
“Kenyataan Andrew mahu menggunakan kalimah berkenaan
adalah bertentangan dan menghina keputusan mahkamah, jadi tindakan
undang-undang perlu diambil terhadapnya,” katanya kepada Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Ismail berpendapat, pihak istana juga boleh menilai
kenyataan tersebut agar tindakan sewajarnya diambil bagi mempertahankan titah
sultan dan institusi raja di negara ini.
Katanya, jika tindakan tegas tidak diambil dalam kadar
segera, kenyataan paderi berkenaan boleh memberi impak lebih besar termasuk
menjadi contoh ikutan kepada gereja lain untuk turut menggunakan kalimah Allah.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu
mendakwa paderi berkenaan di mahkamah.
Beliau berkata, tindakan tersebut amat wajar untuk
menghentikan kegelisahan umat Islam selain mengekalkan keharmonian hubungan
masyarakat majmuk negara ini.
“Kenyataan tersebut jelas tidak menghormati mahkamah,
titah sultan dan menunjukkan paderi itu seolah-olah tiada perasaan yang baik
terhadap persefahaman serta keharmonian antara kaum dan agama.
“Umat Islam seperti dihimpit ke dinding dan saya
bimbang ada pula pihak yang akan memberi reaksi balas terhadap kenyataan itu
dengan melakukan tindakan sendiri hingga tercetus sesuatu yang buruk pada masa
depan,” katanya yang mengesahkan menerima banyak aduan daripada umat Islam
yang marah dengan kenyataan tersebut.
Nadzim memberitahu, jika reaksi berlaku, negara akan menjadi
huru-hara dan punah malah tiada sesiapa pun yang mendapat untung.

“Justeru kita minta semua pihak lebih bertanggungjawab
dalam hal ini, saya percaya Kristian juga mengajar penganutnya menghormati
serta menjaga keharmonian negara,” katanya.