Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1076) HARIAN METRO 1/1/2014 PPIM DAKWA PENYEDIA PERKHIDMATAN JALUR LEBAR
03 Jan 2014

Headline: PPIM dakwa penyedia perkhidmatan jalur lebar
Publication: HM
Date of publication: Jan 1, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 054
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan
mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah syarikat penyedia perkhidmatan
jalur lebar mudah alih berikutan kegagalan syarikat itu menyediakan
perkhidmatan seperti dijanjikan kepada ribuan pelanggannya.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, syarikat
berkenaan didakwa bukan saja gagal menyediakan capaian Internet seperti
dijanjikan, malah pelanggan berdepan prosedur rumit jika mahu menamatkan
langganan dengan caj dan bayaran tambahan tidak munasabah.
Lebih teruk, ramai pelanggan mendakwa syarikat akan
menggantung perkhidmatan sekiranya mereka enggan membayar yuran langganan
ekoran capaian Internet tidak memuaskan di kawasan pelanggan serta tidak
setimpal dengan bayaran dibuat walaupun aduan sudah dibuat kepada syarikat itu.
“Bagaimanapun, selepas menggantung perkhidmatan,
pelanggan tetap dikenakan bayaran langganan sehingga tamat kontrak.
“Ini jelas menunjukkan ketidakadilan serta berunsur
penipuan kerana perkhidmatan ditamatkan atau digantung syarikat itu sendiri.
“Lebih teruk, pelanggan yang tidak menjelaskan tuntutan
syarikat berkenaan turut disenaraihitamkan dengan syarikat rujukan kredit,
Credit Tip Off Sdn Bhd (CTOS) hingga menghadapi kesulitan memohon pinjaman
bank,” katanya pada sidang media aduan beberapa pelanggan syarikat
perkhidmatan jalur lebar itu di Pejabat PPIM di sini, semalam.
Sebelum ini, syarikat berkenaan dipercayai menerima kecaman
daripada 18,000 pengikut menerusi sebuah kumpulan di Facebook yang diwujudkan
sejak tiga tahun lalu bagi berkongsi pengalaman dan masalah berkaitan
perkhidmatan syarikat terbabit.
Nadzim berkata, berikutan ribuan pelanggan gagal mendapat
maklum balas sewajarnya daripada syarikat terbabit, pihaknya dimaklumkan
syarikat itu diberi tempoh sehingga esok untuk memberi penjelasan kepada
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu itu.
“Sehubungan itu, PPIM menggesa syarikat terbabit tampil
menyelesaikan masalah dihadapi hampir kebanyakan pelanggan mereka secepat
mungkin. Jika gagal berbuat demikian, kita tidak teragak-agak mengheret
syarikat itu ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang juga pengendali ruangan kumpulan
berkenaan di Facebook, Mohd Rizuani Mohd Yahya, 38, mendakwa menerima e-mel
daripada syarikat berkenaan yang mahu akaun kumpulan itu ditutup dua tahun lalu
dan dia dijanjikan habuan serta tunggakan miliknya dihapuskan.