Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1078) HARIAN METRO 31/12/2013 RUGI RM3 JUTA SEHARI
04 Jan 2014

Headline: Rugi RM3 juta sehari
Publication: HM
Date of publication: Dec 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Hamizah Badiran
Kuala Lumpur: Seramai 20,000 pemandu teksi yang beroperasi
di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur akan kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta
sehari jika Himpunan Guling Kerajaan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka
hari ini diteruskan.
Selain kerugian, perhimpunan haram yang dibuat semata-mata
demi kepentingan pihak tertentu itu turut menjejaskan imej negara yang harmoni
serta perniagaan ribuan peniaga dan penjaja di ibu negara.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi
Semenanjung Malaysia (GPSTSM) Datuk Mohd Alias Abdul berkata, pemandu teksi
boleh memperoleh pendapatan minimum kira-kira RM150 sehari dan jika perhimpunan
itu diteruskan, aliran wang tunai mereka terbantut.
“Justeru, kami membantah sekeras-kerasnya cadangan
perhimpunan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka dan jalan sekitarnya pada
malam itu nanti.
“Perkara ini tidak mendatangkan faedah, sebaliknya
membawa musibah kepada ramai pihak terutama pemandu teksi. Selain kerugian, ia
juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk menyebabkan mutu
perkhidmatan teksi terganggu, sekali gus menakutkan pelancong asing.
“Sudahlah tahun depan diisytihar Tahun Melawat
Malaysia, perkara macam ini pula yang mereka mahu lakukan. Ia amat
memalukan!” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis membantah
penganjuran perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,
semalam.
Terdahulu, GPSTSM diwakili Setiausahanya Abdul Jalil Maarof
membuat laporan di IPD Dang Wangi berhubung perkara itu jam 11 pagi.
Selain Abdul Jalil dan Mohd Alias, kira-kira 50 pemandu
teksi dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut hadir di luar IPD bagi
memberi sokongan sambil menunjukkan sepanduk bantahan.
Menurut Mohd Alias, berdasarkan pengalaman lalu (Bersih 1, 2
dan 3), pemandu teksi di Lembah Klang sudah cukup teraniaya berikutan sikap
tidak bertanggungjawab pihak berkenaan.
“Siapa nak ganti pendapatan RM150 sehari yang
sepatutnya diperoleh pemandu teksi? Mereka harus sedar kami bukan golongan
makan gaji, pendapatan kami ikut hari,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa segera
mengambil tindakan sepatutnya terhadap penganjur dan dalang perhimpunan itu
kerana hanya menyusahkan ramai pihak serta mencalar imej negara.