Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1085) UTUSAN MALAYSIA 7/1/2014 KPDNKK PERLU LEBIH TEGAS BENDUNG PENYALAHGUNAAN HARTA INTELEK
07 Jan 2014

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap penyalahgunaan harta
intelek yang dilihat semakin berleluasa.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk
Nadzim Johan berkata, harta intelek seperti aset-aset melibatkan produk,
ciptaan, karya, rekaan dan konsep perniagaan wajar diberi perlindungan
sepenuhnya agar peserta industri dapat berdaya saing serta maju.
Tambahnya, penyalahgunaan harta intelek itu boleh memberikan
impak negatif kepada masyarakat di samping merugikan ekonomi negara.
“Kita khuatir, perkara ini kalau dilihat lebih meluas
boleh memberi kesan seperti masyarakat pemalas yang hanya menunggu idea-idea
dari luar. Orang lain juga berniaga, tapi kenapa mesti menciplak hasil karya
mereka demi keuntungan semata-mata?
“Bukan sahaja peniaga, malah negara juga terkena
tempias. Gejala ini boleh mengakibatkan kerugian berbilion ringgit saban tahun,
kita tidak mahu nama Malaysia tercemar seperti sesetengah negara lain yang
gemar menciplak barangan berjenama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai
‘penciplakan harta intelek tindakan tidak bermoral yang perlu dibendung’ di
Villa Puteri Kondominium, Jalan Tun Ismail, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Peguam Harta Intelek, Datuk Mohamad
Bustaman Abdullah, Aktivis Pengguna PPIM, Mohd. Mustafa Hamzah dan Pengarah
Urusan Fareeda Global Resources Sdn. Bhd., Aminuddin Basirron.
Sementara itu, Aminuddin merangkap ahli PPIM berkata, ekoran
daripada penyalahgunaan tersebut, syarikat yang menciplak boleh mengaut
keuntungan lebih besar berbanding syarikat pengeluar asli.
“Syarikat penciplak akan menghasilkan produk yang
hampir sama daripada segenap sudut dan akhirnya menarik minat pengguna untuk
membeli produk yang serupa tetapi jauh lebih murah daripada produk asli.

“Namun kita tahu, yang asli akan lebih berkualiti.
Tetapi apakah perkara ini perlu terus dibiarkan tanpa tindakan tegas diambil?
Saya yakin kalau pihak berkuasa giat membendung gejala ini, maka ramai yang
takut untuk berbuat demikian,” katanya