Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1086) HARIAN METRO 7/1/2014 ‘KAMI AKAN SAMAN ANDA’
07 Jan 2014

Headline: ‘Kami akan saman anda’
Publication: HM
Date of publication: Jan 7, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
Kuala Lumpur: Pengusaha jenama tudung Fareeda, Fareeda
Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) memberi amaran kepada syarikat yang
menciplak rekaan tudung keluaran syarikat itu yang dipatenkan di bawah Akta
Reka Bentuk Perindustrian 1996 supaya menghentikan pengeluaran dan penjualan
produk terbabit.
Pengasasnya, Faridah Zakaria berkata, sekiranya gagal
berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang
terhadap mereka yang sudah dikenal pasti menciplak tujuh reka bentuk tudung
dipatenkan di bawah akta berkenaan.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha terbabit
mengaut keuntungan mudah daripada titik peluh syarikatnya serta kos pelaburan
untuk pengiklanan dan pemasaran bernilai jutaan ringgit setiap tahun.
“Sudah lama kami perhatikan banyak peniaga dan
pengusaha menciplak rekaan tudung Fareeda, namun paling ketara sepanjang tahun
lalu apabila hasil pemantauan, ada beberapa syarikat pesaing turut meniru
rekaan kami dan menjual produk palsu secara besar-besaran.
“Itu belum termasuk produk palsu Fareeda yang dijual
secara meluas melalui online. Dianggarkan jualan syarikat terbabit mencecah RM5
juta sebulan melalui tudung rekaan Fareeda yang dipatenkan, malah ada antaranya
yang sudah mempunyai kilang sendiri untuk mengeluarkan produk rekaan
kami,” katanya pada sidang media selepas mengemukakan aduan kepada
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan,
Pengarah Urusan Fareeda, Amiruddin Basirron serta Peguam Harta Intelek Fareeda,
Datuk Mohamad Bustaman Abdullah.
Sehubungan itu Faridah berkata, satu notis amaran sudah
dikeluarkan menerusi peguamnya bagi memberi peringatan kepada semua pihak,
terutama syarikat dan pengusaha yang melanggar hak mereka selaku pemilik sah
rekaan tudung Fareeda.
Katanya, tindakan undang-undang yang akan diambil antaranya,
mendapatkan ganti rugi atau perintah pengemukaan akaun keuntungan dan perintah
injunksi bagi menghalang perlanggaran lanjut oleh syarikat terbabit di bawah
undang-undang.
Sementara itu Nadzim berkata, kerajaan perlu lebih tegas
dalam memastikan hak intelek produk dikeluarkan syarikat tempatan terus
mendapat perlindungan sewajarnya.
“Perkara yang berlaku terhadap Fareeda hanya sebahagian
saja kes harta intelek diciplak. Ini jelas memberi isyarat tidak betul, kita
bimbang apabila pada masa akan datang orang lain buat begini (ciplak) pun tidak
mengapa.
“Lebih membimbangkan apabila sekarang ini pun negara
kita memang dikenali dengan pendekatan penguatkuasaan yang lebih berlembut.
“Justeru, tiba masa kerajaan melalui kementerian dan
agensi berkaitan bertegas dalam hal membabitkan perlindungan harta intelek
melalui akta berkaitan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengusaha dan peniaga Islam supaya
menjalankan perniagaan dengan lebih berhemah dan beretika supaya rezeki diperoleh
mendapat keberkatan.