Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1097) UTUSAN MALAYSIA 10/1/2014 PERBANKAN ISLAM PERLU ELAK KEKELIRUAN
10 Jan 2014

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Pengamal perbankan Islam perlu lebih
telus dan mematuhi syariah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peminjam.
Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan, Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied berkata, beliau
bimbang kerana terdapat beberapa kesalahan dan keraguan dalam pelaksanaan
perbankan Islam terutama dalam sistem kiraan pinjaman.
Jelasnya, antara kesalahan itu ialah terdapat unsur-unsur
keraguan melampau (gharar) dalam transaksi peminjam, prinsip al-Bai Bithaman
Ajil yang tidak dilaksanakan secara betul dan berhubung soal diskaun (ibra’)
semasa pembelian hartanah yang dilelong.
Katanya, kaedah transaksi itu dilaksanakan secara tidak
jelas dan tidak dinyatakan dalam perjanjian ataupun pada surat tawaran yang
diterima peminjam.
“Ini bertentangan dengan syarat-syarat Bank Negara.
Hakikat yang disembunyikan itu membolehkan pihak bank mengaut keuntungan
berlebihan.
“Oleh kerana itu, kita menggesa Majlis Penasihat
Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia untuk mengkaji serta menyiasat secara
mendalam kes-kes tersebut dan menyelesaikan permasalahan berkenaan yang bukannya
perkara baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung
pendedahan kepincangan sistem perbankan Islam di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan
Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Abdul Jamal Jalaludeen dan Exco NUBE, Mohammad
Saufie Othman.
Tambahnya, konsep perbankan Islam yang sepatutnya memudahkan
proses jual beli kini menjadi sistem yang membebankan apabila peminjam perlu
menanggung hutang sehingga ada dalam kalangan mereka disenarai hitam.
“PPIM tidak menentang perbankan Islam, cuma kami
mahukan beberapa perkara diperbetulkan demi agama Islam.
“Sistem tersebut perlu diperbaiki kelemahannya dan perlu
mengikut syariah Islam kerana kita tidak mahu mereka yang tidak
bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan cara mengaburi mata orang ramai
menggunakan nama Islam yang suci,” jelasnya.
Katanya, walaupun PPIM telah menghantar surat kepada Bank
Negara dan kertas kerja kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim), setakat ini tiada inisiatif pihak berkenaan untuk menyelesaikan
masalah tersebut.
Sementara itu, seorang ‘mangsa’ perbankan Islam, Mohd.
Fairullazi Ayub, 34, yang membuat pinjaman perumahan mendakwa terdapat
unsur-unsur gharar dalam penyata yang diterimanya.
Katanya, terdapat percanggahan angka dalam penyata
pembayaran pinjaman yang diragui.
Jelasnya, angka-angka tersebut berbeza daripada perjanjian
dan terdapat hakikat yang disembunyikan oleh pihak bank.

“Saya telah buat aduan kepada bank berkenaan dan Bank
Negara namun sehingga kini masih tiada tindakan, malah setiap kali saya hubungi
untuk susulan kes, saya hanya difahamkan kes itu masih dalam siasatan,”
jelasnya