Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1107) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 KAJI SUBSIDI MINYAK, TEPUNG JIKA PEDULI BEBAN RAKYAT – PPIM-
11 Jan 2014

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pemberian subsidi minyak dan
tepung jika benar-benar mahu mengambil kira beban ditanggung oleh rakyat.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ketika ini
langkah kerajaan mengurangkan pemberian subsidi minyak belum memberi kesan
positif kepada golongan berpendapatan rendah.
“Walaupun kenaikan 20 sen harga minyak tahun lalu
dilihat membebankan rakyat tetapi hakikatnya jika kerajaan mengambil langkah
tepat dengan membuka (permohonan) subsidi kepada mereka yang berminat sahaja,
matlamat pemberian subsidi itu boleh memenuhi keperluan golongan sasaran iaitu
berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak bahawa kerajaan akan melakukan kajian makmal secara mendalam sebelum
mengambil keputusan menaikkan kadar tol dalam masa terdekat bagi mengelakkan
rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
Menurut Nadzim, dengan membuka permohonan subsidi kepada
mereka yang berminat dan layak, kerajaan tidak perlu khuatir tentang kenaikan
harga minyak mengikut pasaran semasa.
“Saya yakin jika kerajaan mengambil langkah ini, hanya
mereka yang betul-betul layak akan menikmati subsidi ini dan tidak timbul
tentang isu kenaikan harga seperti tambang bas sekolah, barang keperluan dan
sebagainya,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau juga mahu kerajaan menilai semula
tentang pemberian subsidi tepung memandangkan wujudnya syarikat tertentu yang
menyalahgunakan subsidi tersebut dengan mengeluarkan tepung tidak berkualiti.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah
Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, secara dasarnya kajian makmal
tersebut tidak diperlukan memandangkan kerajaan telah mengambil keputusan
menaikkan kadar tol walaupun bukan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan boleh melaksanakan kajian
kenaikan harga barang dengan menubuhkan Suruhanjaya Kos yang akan bertindak
sebagai orang tengah antara kerajaan dan peringkat akar umbi.