Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1108) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 SEKRETARIAT NGO SELANGOR SOKONG JAIS
13 Jan 2014

SHAH ALAM 10 Jan. – Lebih 200 orang mewakili beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Sekretariat NGO Selangor
mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
di sini selepas solat Jumaat hari ini.
Perhimpunan itu bagi memberi sokongan kepada Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS) yang bertindak merampas Bible versi bahasa Melayu yang
mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya,
Khamis lalu.
Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Datuk Jamal Yunos
berkata, kira-kira 60 ketua NGO dari seluruh Selangor turut serta dalam
perhimpunan aman tersebut untuk menyerahkan memorandum menyokong penuh tindakan
JAIS itu.
“Sokongan penuh diberikan kerana JAIS bertindak
berlandaskan peruntukan perundangan serta berdasarkan keperluan penguatkuasaan
undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Kami mahu proses penguatkuasaan sentiasa dijalankan
mengikut peruntukan perundangan sedia ada dan istiqamah untuk mempertahankan
kesucian Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum
kepada JAIS di pekarangan bangunan jabatan itu di sini.
Memorandum itu diterima oleh Pegawai Petugas Khas JAIS,
Ahmad Darul Akmal Mohd. Ali.
Antara NGO terbabit termasuk Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan
Dakwah Selangor (IKDDS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Jalur
Tiga Malaysia (Jati) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
Jamal dalam pada itu turut mengutuk sekeras-kerasnya sikap
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat mengutamakan
kepentingan politik dan seolah-olah tidak mempedulikan agama Islam.
“Kami mahu kerajaan negeri tidak mempolitikkan isu
penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan tindakan JAIS merampas Bible itu
sehingga menafikan peruntukan perundangan sedia ada.

“Selagi penguatkuasaan JAIS itu mengikut undang-undang,
semua pihak perlu menghormatinya,” tegas beliau