Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1115) BERITA HARIAN 16/1/2014 TELITI KAEDAH NEGARA LAIN ATASI MASALAH
16 Jan 2014

Headline: Teliti kaedah negara lain atasi masalah
Publication: BH
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Nazura Ngah; M Hifzuddin Ikhsan; Meor
Ahmad Nasriin Rizal
Kuala Lumpur: Pengguna perlu diberi peluang seluas-luasnya
menyalurkan idea dan pandangan mengenai kaedah terbaik bagi menangani
peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Media sosial antara platform berkesan untuk mengumpul
maklumat terbabit menerusi makmal yang diwujudkan selaras penubuhan
Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat.
Makmal itu juga wajar membabitkan penyertaan pengguna serta
pihak berkepentingan lain termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan, agensi
awam dan pihak industri.
Teliti mekanisme
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia
(FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan juga wajar meneliti
mekanisme diguna pakai negara lain yang berjaya mengurangkan beban rakyat dan
memastikan mereka hidup selesa dengan jumlah pendapatan diperoleh.
“Masalah kos sara hidup meningkat dipengaruhi pelbagai
faktor, antaranya gaya hidup yang tidak setara dengan pendapatan, namun ia
tidak bermakna kerajaan tidak boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan
sederhana dengan mewujudkan pelbagai inisiatif,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Dr Maamor Osman, pula berkata makmal khas itu perlu disertai pegawai yang
terbabit secara langsung dengan pelarasan barangan dan perkhidmatan kerana
mereka ada maklumat lebih tepat berbanding pegawai atasan.
Beliau turut menyarankan mekanisme terbaik diwujudkan dalam
jaringan maklumat antara kerajaan dan swasta, swasta dan swasta serta antara
kementerian menerusi penubuhan pangkalan data selain fokus terhadap keperluan
asas merangkumi makanan dan perkhidmatan awam.
Tanda keprihatinan
Sementara itu, kebanyakan pengguna yang ditemui semalam,
menyokong penuh penubuhan jawatankuasa yang disifatkan tanda keprihatinan
kerajaan terhadap beban terpaksa ditanggung rakyat terutama golongan
berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengurus restoran, Kelvin Lai, 30, berkata langkah itu
permulaan penting bagi mengawal harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus
mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

Penjawat awam, Mohd Shahrul Afendi, 29, berkata kerajaan
perlu mencari jalan supaya rakyat dapat menstabilkan perbelanjaan bulanan,
manakala Rina Othman, 32, berpendapat rakyat harus berbelanja secara berhemah
bagi memastikan pendapatan mampu menampung kenaikan kos sara hidup.