Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1130) BERITA HARIAN 23/1/2014 Ops Harga Periksa Semua Barang Keperluan
04 Feb 2014

Headline: Ops Harga periksa semua barang keperluan

Publication: BH
Date of publication: Jan 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Anwar Patho Rohman
Isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini menjadi
bualan di mana-mana saja. Ikuti temu bual wartawan BH, dengan Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek
berhubung langkah yang dilaksanakan kementeriannya dalam menangani masalah itu.
BH: Boleh Datuk ulas senario kenaikan harga barangan yang
berlaku ketika ini?
Hasan: Kenaikan dan penurunan harga barang sentiasa berlaku.
Harga barangan ditentukan oleh pasaran atas faktor penawaran dan permintaan.
Perubahan harga juga boleh berlaku kerana faktor di luar kawalan seperti cuaca,
khabar angin, kelemahan rantaian bekalan dan kebergantungan kepada barangan
import. Dari sudut faktor cuaca, musim tengkujuh mempengaruhi jumlah
pengeluaran terutama barangan seperti ikan dan sayur-sayuran yang menyebabkan
penawaran kurang daripada permintaan sehingga mendorong peniaga menaikkan
harga. Ia diburukkan lagi jika berlaku masalah dalam pengangkutan disebabkan
banjir teruk melanda kawasan pantai timur. Kerosakan tanaman seperti akibat
banjir juga memaksa peniaga menaikkan harga barangan yang berkaitan. Bagi
menangani kerugian ditanggung, peniaga akan mengenakan harga yang tinggi.
Dalam aspek kelemahan rantaian bekalan pula, ia disebabkan
peningkatan kos barangan dan perkhidmatan termasuk kelemahan struktur rantaian
bekalan seperti ketidakcekapan serta monopoli dalam pengeluaran dan pengedaran
oleh sesetengah pihak. Di samping itu, kenaikan harga barang juga disebabkan
kebergantungan kepada barangan makanan diimport. Realitinya, Malaysia banyak
bergantung kepada barangan makanan import seperti bawang ros merah dari India
dan kobis Beijing dari China. Bekalan dan harga barangan berkenaan dipengaruhi
oleh negara pengeluar. Jika berlaku perubahan iklim atau sekatan eksport, ia
akan mempengaruhi harga dan bekalannya untuk pasaran Malaysia.
S: Apakah strategi kementerian bagi menangani isu kenaikan
harga barang supaya ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan
berpendapatan sederhana dan rendah?
J: Pada tahun ini, kementerian akan meningkatkan langkah
bagi memastikan tiada kegiatan pengambilan keuntungan secara berlebihan atau
kenaikan harga berbentuk artificial. Peniaga yang didapati menaikkan harga akan
diberi notis tunjuk sebab untuk menjelaskan kenaikan itu. Mereka yang gagal
memberikan maklum balas ke atas kenaikan itu akan dikenakan tindakan mengikut
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kementerian juga mengambil langkah
berhubung terus dengan pihak industri terutama pengilang dan peniaga agar dapat
memantau secara langsung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Kerajaan juga mengawal harga barangan keperluan sempena
Tahun Baru Cina akan datang dengan melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim
Perayaan Tahun Baru Cina 2014. Skim Kawalan Harga Musim Perayaan ini akan terus
dilaksanakan sebagai langkah mengawal kenaikan harga barang keperluan semasa
permintaan meningkat menjelang musim perayaan. Kementerian saya juga memantau
pergerakan harga di pasaran dan menjalankan penguatkuasaan undang-undang jika
didapati berlakunya kenaikan harga tidak munasabah.
S: Kerajaan mengumumkan akan terus mengkaji langkah baru
untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat.
Bagaimana kementerian Datuk dapat membantu kerajaan dalam hal ini?
J: Dari aspek penguatkuasaan, kementerian saya tidak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang
melanggar perundangan dan tidak mematuhi arahan. Mana-mana pihak yang didapati
menjalankan kegiatan pengambilan untung secara berlebihan akan diambil tindakan
mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 tanpa sebarang amaran.
Kita serius dan akan memastikan peniaga yang tidak beretika dihadapkan ke
mahkamah jika didapati sengaja menaikkan harga tanpa sebab munasabah.
Sepanjang 2013, sebanyak 1,937,015 pemeriksaan dijalankan di
seluruh negara ke atas semua peringkat perniagaan. Hasil pemeriksaan proaktif
ini dan aduan pengguna, tindakan kes yang diambil adalah sebanyak 8,705 dengan
jumlah rampasan bernilai RM34.098 juta. Keseluruhan nilai kompaun pula ialah
sebanyak RM527,011. Kes berkenaan adalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti
Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan
Akta Perihal Dagangan 2011.
S: Dapat diperhatikan yang kenaikan harga barang ini menjadi
senjata politik parti pembangkang untuk menghentam dan menuduh kerajaan sebagai
tidak membela nasib rakyat. Apakah langkah kawalan yang diambil?
J: Memandangkan trend kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan terus berlaku dalam jangka masa pendek dan panjang, KPDNKK
menggariskan beberapa langkah untuk menangani isu ini antaranya akan
mempergiatkan penguatkuasaan termasuk mengambil tindakan tegas terhadap
kesalahan berkaitan harga mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan terhadap
aktiviti pencatutan dan penetapan harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti
Pencatutan serta Akta Persaingan. Tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan
melalui operasi pemeriksaan dan pemantauan aktif serta menyeluruh ke atas
pembekal, pengedar, pengimport, pemborong serta peruncit di kawasan bandar dan
luar bandar. Ia termasuk melaksanakan Ops Harga di premis perniagaan secara
menyeluruh. Pemeriksaan merangkumi semua barangan keperluan terutama barangan
kawalan, barangan makanan, barangan kegunaan rumah, makanan sedia masak dan
minuman. Operasi ini dilakukan secara bersama dengan agensi lain yang mempunyai
bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguatkuasaan yang lebih
berkesan dan bersepadu.
Kementerian saya juga mengambil tindakan ke atas aktiviti
yang bersifat antipersaingan melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Selain itu, kita berusaha untuk menambah baik jaringan pengedaran. Dalam usaha
meningkatkan persaingan dalam pemasaran barangan, koperasi terutama yang besar
dikenal pasti boleh memainkan peranan pelengkap untuk bertindak sebagai
pengedar barangan keperluan utama pengguna sama ada melalui saluran pengedaran
kedai koperasi sedia ada dan mewujudkan saluran baru. Sementara itu,
hypermarket dan supermarket akan diminta memainkan peranan lebih besar dengan
meningkatkan penyertaan di kawasan penempatan baru terutama di Sabah dan
Sarawak. Kerajaan juga perlu menimbang membuka pasaran kepada kemasukan jenama
hypermarket yang baru bagi meningkatkan lagi persaingan.
Kementerian saya juga berharap pihak korporat membantu
meminimumkan kesan kenaikan harga barang. Antaranya dengan memperbanyakkan
jualan murah dan pesta jualan secara berkala bagi produk asas rakyat serta
menggalakkan pihak industri menyertai Price Watch yang diwujudkan di
kementerian. Kementerian juga dipertanggungjawabkan melaksanakan program di bawah
NKRA Kos Sara Hidup. Hingga kini empat program NKRA Kos Sara Hidup di bawah
seliaan KPDNKK dilaksanakan iaitu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu Rakyat
1Malaysia (MR1M), Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) dan Kedai Optikal Rakyat
1Malaysia (KOR1M).
S: Bagaimana dengan peranan gerakan kepenggunaan?
J: Kita mahu gerakan kepenggunaan lebih agresif bagi
meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat. Kementerian akan
bekerjasama lebih rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan dan
Pasukan Khas Skuad Pengguna, yang terdiri daripada Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia
(MACFEA), PERDASAMA, CUEPACS serta badan sukarelawan yang dirasakan bersesuaian
memainkan peranan membantu kerajaan menyebarkan maklumat termasuk dalam
meningkatkan kesedaran pengguna.
S: Kementerian mempunyai beberapa undang-undang baru yang
diluluskan Parlimen, antaranya undang-undang mengawal amalan kartel atau
monopoli. Tidakkah undang-undang ini boleh dikuatkuasakan untuk mengawal
kenaikan harga barangan?
J: Melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan harga
barangan keperluan harian sentiasa dipantau dan sebarang peningkatan harga yang
tidak munasabah boleh diambil tindakan undang-undang seperti denda. Akta
Persaingan diwujudkan untuk menggalakkan persaingan di antara semua pihak dalam
bidang sama. Melalui akta ini, sebarang aktiviti atau amalan kartel dan
monopoli sesuatu bidang atau produk boleh diambil tindakan undang-undang.
S: Apakah pesanan Datuk kepada orang ramai berhubung isu
kenaikan harga barangan ini dan apakah langkah wajar perlu mereka lakukan?

J: Pengguna dinasihatkan agar membuat perbandingan harga sebelum
membuat keputusan membeli. Jadilah pengguna bijak kerana kuasa sebenarnya di
tangan pengguna. Dalam pada itu, pengguna hendaklah sentiasa peka dan membantu
menyalurkan aduan kepada Kementerian. Buatlah aduan kepada kami. Jika
berhadapan masalah peniaga menaikkan harga sesuka hati atau tidak meletakkan
tanda harga, mereka boleh membuat aduan kepada kementerian.