Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1139) UTUSAN MALAYSIA 7/2/2014 DATUK BANDAR SHAH ALAM DIDESAK LETAK JAWATAN
07 Feb 2014

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd.
Jaafar Mohd. Atan didesak melepaskan jawatan ekoran kegagalannya memainkan
peranan berhubung isu tuntutan RM6.5 juta oleh sebuah syarikat kontraktor
terhadap Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu memandangkan isu membabitkan
syarikat kontraktor, Menara Biru Sdn. Bhd. dan MBSA itu sudah berlanjutan sejak
10 tahun lalu dan telah beberapa kali dibicarakan di mahkamah.
Jelasnya, walaupun MBSA diarah membayar tuntutan tersebut,
sehingga kini pihak majlis seolah-oleh melambatkan prosedur serta mencabar
keputusan mahkamah sekali gus menyebabkan jumlah faedah yang perlu dibayar
semakin bertambah.
“Duit yang akan dibayar kepada kontraktor tersebut
menggunakan duit rakyat, jadi di sini kita melihat ketidakjujuran pentadbiran
Datuk Bandar yang cuai sehingga menyebabkan duit rakyat tergadai kerana
kedegilan menuruti perintah mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini
hari ini.
Pada 2001, Menara Biru Sdn. Bhd. telah mendapat kontrak
untuk mengambil alih satu projek terbengkalai pembinaan sebanyak 10 unit banglo
di Jalan Hakisan, Seksyen 8, Shah Alam.
Namun apabila projek itu siap pada 2002, MBSA gagal membayar
syarikat kontraktor tersebut sehingga menyebabkan operasi Menara Biru
diberhentikan kerana adanya tuntutan daripada pihak bank selain turut
disenaraihitamkan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah
Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, MBSA seharusnya menjalankan
tanggungjawab dengan penuh bermaruah dan bukannya melanggar perintah mahkamah.
“MBSA dilihat seolah-olah mempunyai kuasa yang lebih
tinggi daripada mahkamah dan sebab itu mereka sengaja melanggar perintah
mahkamah,” jelasnya.
Tambahnya, MBSA diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan
konflik tersebut atau tindakan tegas diambil terhadap mereka termasuk pihaknya
akan mempersoalkan kewajaran pembinaan rumah banglo tersebut yang dibuat bagi
kegunaan pegawai atasan MBSA.
“Dalam masa yang sama Mohd. Jaafar seolah-olah tutup
mata dan hanya membiarkan perkara itu berlanjutan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, mangsa yang juga Pengarah Urusan
Menara Biru, Fazilah Abdul Hamid berkata, MBSA telah diarahkan oleh Mahkamah
Timbang Tara pada 2004 untuk membayar nilai tersebut kepadanya namun sehingga
kini masih belum menjelaskannya.

“Sejak mula mengambil alih projek berkenaan, MBSA hanya
membayar RM1.5 juta daripada nilai perjanjian sebenar RM3 juta dan bakinya
masih tidak dibayar sehingga projek siap dibangunkan, malah sehingga ke hari
ini,” katanya