Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1145) METRO AHAD 9/2/2014 IBARAT LINTAH DARAT
10 Feb 2014

Headline: Ibarat lintah darat

Publication: MA
Date of publication: Feb 9, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Aniza Zainudin
“Perbuatan menyusahkan masyarakat oleh syarikat gores
dan menang boleh disifatkan sebagai lintah darat,” kata Ketua Aktivis Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan
Harian Metro bertajuk `Paksa Gores RM1J’ bertarikh 12 Mac 2005.
Laporan berkenaan memaparkan aduan dan situasi dialami orang
ramai yang juga pelanggan di beberapa pasar raya di Petaling Jaya, Selangor
dipaksa jurujual supaya menggores kad bertuah menawarkan hadiah bernilai RM1
juta.
Pelanggan diserbu seramai 20 jurujual lelaki mahupun wanita
di tempat letak kereta menjadi sasaran sebaik selesai membeli belah, sekitar 4
petang hingga 9 malam.
Menurut Nadzim, sindiket gores dan menang yang bertapak di
negara ini sejak 30 tahun lalu, berjaya membina rangkaian tersendiri.
“Kes ini sudah lama menjadi masalah masyarakat, tetapi
menyedihkan apabila negara berdaulat ini gagal mengambil tindakan undang-undang
terhadap individu berkenaan.
“PPIM menerima sekurang-kurang lapan hingga 10 aduan
kes gores dan menang sebulan. Mungkin ramai lagi mangsa di luar sana tetapi
malu untuk membuat aduan.
“Kehidupan rakyat tersepit, namun penjenayah yang
berselindung di sebalik undang-undang pula mengaut keuntungan atas
`kepercayaan’ mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Kata Nadzim, janji manis ditaburkan jurujual seperti
memenangi hadiah lumayan, termasuk kereta, segelintir individu terus
mempercayainya, malah ada juga membuat pinjaman bank semata-mata menyertai
sindiket berkenaan.
Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil dan penubuhan pasukan
khas gabungan lapan agensi yang ditubuhkan baru-baru ini dapat bertindak secara
efektif.
Fakta
* Modus operandi mendekati pelanggan pasar raya di tempat
letak kereta untuk menyertai peraduan kad bertuah kononnya menawarkan hadiah
segera bernilai hingga RM1 juta
* Pelanggan yang selesai membelibelah dihampiri lebih 20 lelaki
dan wanita dipercayai jurujual
* Ramai pelanggan membuat aduan kepada pihak pengurusan
pasar raya tetapi tidak berkuasa menahan mereka
* Jumlah ulat gores dan menang ini bertambah menjelang
hujung minggu

* Selepas menerima aduan, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah syarikat
peraduan gores dan menang di Subang Jaya