Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANGAN BUNUH RAYANI AIR – PPIM – 12/7/16
12 Jul 2016

Datuk Nadzim Johan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa memberi peluang kedua kepada Rayani Air atau suruhanjaya itu sendiri perlu membuka tawaran kepada pelabur baharu, bagi memastikan syarikat penerbangan tersebut kembali beroperasi.

Langkah tersebut bertujuan untuk mendapatkan suntikan dana dan mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Mavcom sepatutnya tidak terus ‘membunuh’ Rayani Air dengan membatalkan lesen syarikat penerbangan itu, yang sebenarnya memberi kesan buruk kepada semua terutama penumpang, pekerja dan industri penerbangan negara.

Menyifatkan tindakan Mavcom membatalkan lesen Rayani Air sebagai ‘tergesa-gesa’, jelas Nadzim, jalan penyelesaian boleh difikirkan bersama memandangkan antara sebab syarikat itu dibatalkan lesen adalah isu kewangan dan pengurusan.

“Batal lesen Rayani Air bukan satu cara yang bijak. Penumpang atau pekerja boleh buat laporan polis atau dakwa syarikat atau pemiliknya, tetapi lesen syarikat dah batal, tak boleh beroperasi dan alami kerugian, jadi macam mana nak selesai.

“Nilai sesebuah syarikat adalah pada lesennya. Kalau ada lesen, bolehlah hendak diselamatkan,” katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu Nadzim berkata, Mavcom perlu memberikan peluang kedua kepada Rayani Air dengan bersyarat atau suruhanjaya tersebut boleh menentukan pilihan penyelesaian lain.

“Pemilik Rayani Air boleh terus dapatkan pelabur untuk ambil alih syarikat itu, dengan diletakkan beberapa syarat bersesuaian atau Mavcom boleh membuka peluang tawaran kepada mana-mana pihak untuk melabur, sama ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau syarikat swasta.

“Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Peluang ini membolehkan Rayani Air dihidupkan kembali dan seterusnya membayar segala hutang, termasuk bayaran balik tambang pelanggan dan tunggakan gaji pekerja,” katanya sambil menambah usaha berkenaan turut membantu membersihkan imej penerbangan negara yang sedikit tercalar akibat pembatalan lesen itu.

Menurut Nadzim, pihaknya merancang untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan, bagi meneruskan desakan supaya pembatalan lesen Rayani Air ditarik balik, termasuk membincangkan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

Jumaat lalu, pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran tampil memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket sebelum Aidilfitri, seperti yang dijanjikan.

Ravi berkata, penarikan balik lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke dalam syarikat penerbangan itu, sehingga mengakibatkan tiada pelabur yang mahu memberi kerjasama.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat keputusan membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Pada hari sama, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Dilaporkan, tunggakan gaji 415 pekerja Rayani Air selama tiga bulan berjumlah kira-kira RM4.5 juta.

Menerusi aplikasi kumpulan Whatsapp yang menghimpunkan sejumlah pelanggan Rayani Air, hampir 200 pelanggan membuat tuntutan bayaran balik tambang sekurang-kurangnya bernilai ratusan ribu ringgit.

Selain itu, timbul dakwaan sekumpulan pelanggan menerima cek tendang untuk bayaran balik tambang dan Ravi dilaporkan menafikan perkara tersebut, dan menjelaskan bahawa ia disebabkan akaun bank telah dibekukan.

 

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/07/12/bunuh-rayani/