Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1163) UTUSAN MALAYSIA 19/2/2014 ELAK PUKAL : SEDIAKAN DAFTAR PEMBELI
20 Feb 2014

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Kerajaan perlu memastikan pihak
pemaju perumahan menyertakan senarai daftar pembeli untuk setiap projek
perumahan bagi membendung pembelian hartanah secara pukal oleh pihak tertentu.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, langkah itu perlu supaya
pihak pemaju tidak bersubahat dengan kumpulan pelabur hartanah berkenaan yang
berniat mengaut keuntungan berganda.
“Kumpulan pelabur hartanah inilah yang menyebabkan
berlaku lonjakan harga rumah yang melampau sehingga menafikan hak pengguna lain
yang lebih memerlukan rumah.
“Mereka memegang rumah berkenaan untuk satu tempoh dan
menjualnya kembali pada harga yang lebih tinggi kepada golongan berduit dan
mudah mendapat pembiayaan daripada pihak bank,” katanya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam, yang mahu
mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia
(Rehda) bagi membendung pembelian hartanah secara berkumpulan.
Menurut Abdul Rahman, kumpulan dikenali sebagai ‘Kelab
Pelabur Hartanah’ itu beroperasi dengan menemui pemaju perumahan untuk membeli
rumah dalam jumlah yang banyak atau pukal dan menjualnya kembali dengan harga
lebih tinggi.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
pula berkata, tindakan berkenaan satu
bentuk penindasan terhadap pengguna terutama pengguna bumiputera.
“Banyak aduan yang diterima, pengguna mengadu rumah
habis dijual tetapi selepas lima atau enam bulan kumpulan yang membeli rumah
secara pukal ini akan menjualnya pada harga tinggi dan tidak mampu dibeli oleh
pengguna bumiputera.

“Jika perlu kerajaan boleh tarik lesen pemaju yang
ingkar kerana mereka hanya mengejar keuntungan hingga mengetepikan peluang
pengguna lain untuk memiliki rumah,” katanya.