Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1174) UTUSAN MALAYSIA 27/2/2014 CADANGAN NGO SIASAT RBA DIAWANG – AWANGAN
27 Feb 2014

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) mempersoalkan status cadangan mereka kepada kerajaan berhubung penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan serta tindak tanduk
Red Bean Army (RBA).
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan
Perdana Menteri pada Julai tahun lalu, namun sehingga hari ini, perkara itu
masih di awang-awangan tanpa sebarang tindakan.
Sehubungan itu, beliau mendesak cadangan tersebut diteliti
semula memandangkan tentera siber pembangkang itu semakin melampau dan biadab
sehingga sanggup mengugut untuk mengancam nyawa pihak tertentu.
“Kepada pihak berkuasa, kenapa begitu sukar untuk
diambil tindakan sedangkan agenda jahat mereka secara terang-terangan bergerak
aktif dengan penyebaran fitnah dan berita palsu demi melumpuhkan perpaduan kaum
di negara ini.
“Perancangan mereka melalui cara ini cukup berbahaya,
maka amat wajar RCI ditubuhkan bagi menyiasat siapakah dalang, apakah matlamat
dan di manakah mereka mendapat dana yang bertujuan mahu merosakkan
negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan RBA muncul semula dan
kali ini bertindak lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke atas Presiden
Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen
Yee Aun.
RBA cukup terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang
ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan,
semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bagi membantah kegiatan RBA itu, gabungan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Melayu Islam pada Julai tahun lalu telah menyerahkan memorandum
penubuhan RCI agar kerajaan menyiasat secara mendalam dan terperinci tentang
peranan RBA dalam menyerang institusi-institusi negara melalui media sosial.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial
Prihatin, Ramesh Rao berkata, pihaknya juga telah pun menghantar memorandum
sama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada bulan lalu, namun perkara itu
sepi tanpa jawapan.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan serius
berhubung kegiatan seumpama itu dengan mengambil pengajaran daripada apa yang
berlaku di Thailand dan negara Asia Barat yang terpaksa berdepan keadaan
kucar-kacir akibat provokasi melampau.