Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1182) UTUSAN MALAYSIA 26/2/2014 CADANGAN NGO SIASAT RBA DI AWANG-AWANGAN
03 Mar 2014


KUALA LUMPUR 26 Feb. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan
status cadangan mereka kepada kerajaan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan serta tindak tanduk Red Bean Army (RBA).
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, cadangan itu telah dikemukakan kepada
Jabatan Perdana Menteri pada Julai tahun lalu, namun sehingga hari ini, perkara
itu masih di awang-awangan tanpa sebarang tindakan.
Sehubungan itu, beliau mendesak cadangan
tersebut diteliti semula memandangkan tentera siber pembangkang itu semakin
melampau dan biadab sehingga sanggup mengugut untuk mengancam nyawa pihak
tertentu.
“Kepada pihak berkuasa, kenapa begitu sukar
untuk diambil tindakan sedangkan agenda jahat mereka secara terang-terangan
bergerak aktif dengan penyebaran fitnah dan berita palsu demi melumpuhkan
perpaduan kaum di negara ini.
“Perancangan mereka melalui cara ini cukup
berbahaya, maka amat wajar RCI ditubuhkan bagi menyiasat siapakah dalang,
apakah matlamat dan di manakah mereka mendapat dana yang bertujuan mahu
merosakkan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan RBA muncul
semula dan kali ini bertindak lebih berani apabila melakukan ugutan bunuh ke
atas Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The
Nation, Shen Yee Aun.
RBA cukup terkenal dengan propaganda dan
perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN)
dan kerajaan, semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bagi membantah kegiatan RBA itu, gabungan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pada Julai tahun lalu telah
menyerahkan memorandum penubuhan RCI agar kerajaan menyiasat secara mendalam
dan terperinci tentang peranan RBA dalam menyerang institusi-institusi negara
melalui media sosial.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Minda dan
Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, pihaknya juga telah pun menghantar
memorandum sama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada bulan lalu, namun
perkara itu sepi tanpa jawapan.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan
serius berhubung kegiatan seumpama itu dengan mengambil pengajaran daripada apa
yang berlaku di Thailand dan negara Asia Barat yang terpaksa berdepan keadaan
kucar-kacir akibat provokasi melampau.