Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1825) NIB 22/03/2014 – Ditipu pemaju
27 Mar 2014

Headline: Ditipu pemaju
Publication: BH
Date of publication: Mar 22, 2014
Section heading: Sihat
Page number: 021
Byline / Author: Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan berlaku penipuan oleh pihak pemaju dan pihak perbankan membabitkan isu perumahan terbengkalai.

Penipuan ini menyebabkan pembeli tertipu sehingga terpaksa membayar ansuran pinjaman setiap bulan. Kesannya terus membebankan pengguna kerana mereka sudah terikat dengan perjanjian jual beli sedangkan rumah yang dijanjikan masih terbengkalai.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata kajian dua tahun oleh pihaknya mendapati 200,000 penipuan berlaku hingga menyebabkan sesetengah pembeli menanggung hutang.

Keadaan menjadi lebih buruk kerana kegagalan mereka menjelaskan ansuran pinjaman menyebabkan masing-masing diisytihar muflis.

“Melalui kajian kami, wujud akujanji yang diberikan oleh pemaju perumahan dan peguam cara mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Antara kandungannya memberi jaminan jika projek terbengkalai. Bank sepatutnya menuntut wang terbabit daripada pemaju ataupun peguam,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun Nadzim berkata, keadaan sebaliknya berlaku, apabila pengguna pula disaman dan menerima surat tuntutan daripada bank.

Beliau berkata, keadaan itu tidak wajar kerana tindakan sama tidak dikenakan ke atas pemaju mahupun peguam yang turut sama berurusan dalam proses jual beli berkenaan.

Kesannya pengguna berada dalam keadaan tersepit hingga menyebabkan mereka menanggung hutang berpanjangan.

Bagi menangani masalah itu, Nadzim berkata, pembeli boleh mengemukakan aduan mereka terus kepada PPIM supaya segala masalah mereka boleh dibawa ke muka pengadilan untuk pembelaan sewajarnya.

Panduan membeli rumah

Sekiranya anda sudah mendapat pembiayaan untuk membeli rumah tetapi projek perumahan itu terbengkalai, anda masih perlu membayar semula pinjaman anda kepada institusi perbankan.

Ini kerana anda bertanggungjawab ke atas pinjaman berkenaan berdasarkan kepada terma dan syarat perjanjian pembiayaan yang tiada hubung kait dengan penyiapan projek perumahan berkenaan.

Jika ini berlaku, anda boleh merujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bantuan.

Kementerian berkenaan boleh dihubungi menerusi alamat:

Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Paras 3, Blok B Utara, Pusat Bandar Damansara

Peti Surat 15579, 50782 Kuala Lumpur

Hubungi pegawai bertugas menerusi talian 03 – 2092 4488 atau faksimili 03-2092 5409

INFO

Hak peminjam

* Pelanggan berhak mendapat segala maklumat yang boleh mempengaruhi keputusan untuk membuat pinjaman

* Mereka mendapat layanan profesional, bersopan dan tanpa prasangka

* Hak untuk berunding terhadap perubahan pada syarat dan terma pinjaman

* Hak mendapat maklumat tepat dan benar mengenai akaun pinjamannya

* Hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian

Tanggungjawab anda sebagai peminjam

* Memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman

* Bertanggungjawab untuk sentiasa mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan

* Perlu membayar yuran, caj, faedah dan bayaran ansuran mengikut jadual

Hak institusi perbankan

* Hak mendapat maklumat lengkap mengenai kedudukan kredit peminjam

* Mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai peminjam

* Hak menerima pembayaran balik faedah/ansuran bulanan ke atas pinjaman mengikut jadual

* Mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku keingkaran/ pelanggaran perjanjian

* Tanggungjawab institusi perbankan

* Bertanggungjawab melaksanakan segala yang perlu bagi pihak peminjam seperti yang dinyatakan di dalam perjanjian pinjaman

* Bertanggungjawab berunding dengan peminjam sebelum membuat sebarang perubahan terhadap terma dan syarat, fi dan maklumat lain yang berkaitan

* Bertanggungjawab menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan oleh peminjam.

http://www.nib.com.my/archives/text/view/122539225?pos=1&hide_header=1&resultset=nstpec%3Awww/cross-search/search.php%3A_1395884913%3Aresultset