Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1923) NIB 27/05/2014 BERITA HARIAN – PENGUATKUASAAN TEGAS TANGANI ISU HALAL, HARAM
27 May 2014

Headline: Penguatkuasaan tegas tangani isu halal, haram
Publication: BH
Date of publication: May 26, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 026

Halal atau haram. Isu ini kembali menjadi perbualan hangat umat Islam selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggantung sijil pengesahan halal dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk yang dikeluarkan Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd dengan serta-merta mulai kelmarin. Memang wajarlah bagi JAKIM untuk menyiasat bagi mengenal pasti punca pencemaran ke atas dua produk Cadbury yang disahkan mengandungi DNA babi atau dalam takrif saintifik – asid deoksiribonulkleik. JAKIM juga melaporkan bahawa pemeriksaan terakhir pada 20 Februari lalu mendapati produk Cadbury mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia. Bagaimanapun, dalam siasatan terbaru yang dilancarkan berikutan dakwaan ada unsur tidak halal, dua daripada tiga sampel didapati mengandungi DNA babi iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dengan tarikh luput 13 November 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam bertarikh luput 15 Januari 2015.

Adalah amat dikesali dengan pendedahan itu kerana dua produk Cadbury berkenaan antara yang paling popular di seluruh dunia. JAKIM memaklumkan, pensijilan halal Malaysia membabitkan proses pengauditan dan pemeriksaan ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan digunakan termasuk ujian di makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Jadi, kita perlu pastikan pemantauan lebih teliti lebih-lebih lagi terhadap pihak yang sudah melakukan kesalahan sebelum ini. Pada masa sama, kita wajar memeriksa semua jenama coklat yang lain juga. Gara-gara Cadbury, pengeluar lain juga perlu membuka pintu untuk pemeriksaan pihak berkuasa tanpa notis. Sehubungan itu, kita sokong cadangan persatuan pengguna supaya pihak berkuasa menarik balik sijil halal, menghantar sampel setiap bulan dan penyiasatan serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap pengeluar dan peniaga yang mengambil kesempatan menjual produk mengandungi bahan tidak halal kepada umat Islam. Oleh itu, kita juga menyokong langkah mengambil tindakan undang-undang seperti dirancang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ke atas pengeluar coklat susu Cadbury Dairy Milk. Ini termasuk meningkatkan lagi denda kesalahan mencampur bahan halal dengan haram (Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dua kali ganda daripada RM5 juta ketika ini. Semua langkah ini patut dilihat sebagai amaran keras terhadap pihak yang berani mengguris hati orang Islam dalam isu halal dan haram. Pun begitu, langkah terakhir berjaga-jaga membeli barangan terletak di tangan pembeli. Semua orang Islam mesti ada tabiat membaca label pada produk yang mahu dibeli kerana ada kemungkinan penjual tidak mengasingkan antara yang halal dan haram.