Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1989) UTUSAN ONLINE 2/6/2014 – PPIM minta jelas kedudukan sebenar
04 Jun 2014

KUALA LUMPUR 2 Jun – Penjelasan tentang kedudukan sebenar status halal produk coklat syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) perlu diberikan kepada seluruh umat Islam di negara ini berikutan perbezaan keputusan ujian Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan perkara tersebut sebagai satu isu serius dan harus ditangani segera bagi mengelakkan lebih banyak keraguan serta persepsi negatif dilemparkan oleh masyarakat terhadap produk berkenaan.
“Banyak persoalan yang timbul ketika ini. Cadbury dan Kementerian Kesihatan perlu memberi jawapan bagaimana DNA babi boleh wujud dalam sampel pertama sebelum ini. Bagaimana pula boleh tercemar ketika dijual di luar?
“Saya berharap satu kenyataan yang jelas dapat diberikan secara bersama oleh ketiga-tiga pihak terlibat bagi menjelaskan isu itu kepada seluruh umat Islam kerana saya percaya ramai masih keliru dan tidak yakin dengan keputusan yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengesahan Jakim terhadap produk coklat Cabbury yang diambil terus daripada kilang syarikat tersebut yang dikesan tidak mengandungi DNA babi.
Namun Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi DNA babi.
Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim (Mawar), Bazeer Ahmed berkata, satu perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan terlibat perlu diadakan bagi menjelaskan kedudukan sebenar tentang produk makanan tersebut.
“Perlu ada satu pendekatan yang pragmatik untuk menyelesaikan isu ini. Kesemua pihak terlibat perlu diberi penjelasan tentang apa yang sebenarnya terjadi kerana isu makanan bersih dan halal kepada masyarakat terutama komuniti beragama Islam bukan satu perkara kecil dan boleh diambil ringan.
“Nasib pekedai dan peruncit juga perlu diberi perhatian. Ramai daripada mereka yang terpaksa menyimpan produk syarikat tersebut kerana tidak mahu berdepan cercaan pelanggan yang masih marah dengan apa yang berlaku. Pihak pembekal juga tidak datang untuk mengambil semula produk mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140603/dn_14/PPIM-minta-jelas-kedudukan-sebenar#ixzz33diFQtK0
© Utusan Melayu (M) Bhd