Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2074) UTUSAN 4/8/2014- Boikot besar-besaran barangan Israel, Amerika Syarikat – PPIM
04 Aug 2014

Boikot besar-besaran barangan Israel, Amerika Syarikat


KUALA LUMPUR 3 Ogos – Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang semakin ketara menyokong tindakan ganas Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza wajar diberikan pengajaran secukupnya melalui penglibatan masyarakat terbanyak di negara ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin mengajak seluruh rakyat negara ini mempertingkatkan kempen memboikot produk Israel dan AS.
“Pembabitan AS secara langsung dalam peperangan di Gaza wajar diberikan pengajaran. Orang ramai disaran untuk memboikot produk dari Israel dan AS secara besar-besaran kerana kempen memboikot (BDS – Boycott, Divestment and Sanction) yang turut dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi dan pengguna di seluruh dunia adalah satu pendekatan berkesan.
“Langkah memboikot tersebut akan memberi kesan terhadap ekonomi negara tersebut. Selain itu, langkah ini boleh dilakukan orang ramai tanpa mengira usia, sebagai tanda sokongan kita terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Israel memperhebatkan serangan menerusi udara dan darat ke atas Gaza selepas menuduh pergerakan Hamas menculik seorang pegawai tenteranya, sekali gus memusnahkan gencatan senjata tajaan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Serangan tersebut mendapat sokongan kuat daripada sekutunya, AS yang mempertahankan tindakan rejim Zionis itu dan turut membantu membangunkan projek sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome di Israel.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, masyarakat di negara ini perlu ‘berkorban’ dengan memboikot produk jenama yang ada kaitan dengan AS.
“Orang ramai disaran supaya memboikot perkhidmatan dan produk keluaran syarikat-syarikat penyokong kekejaman rejim Zionis terutama AS bagi memberi tekanan kepada ekonomi negara tersebut.
“Untuk memboikot semua produk atau perkhidmatan mereka, bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perlu dilaksanakan. Masyarakat tidak dituntut berkorban nyawa tetapi perlu ‘mengorbankan’ tabiat membeli produk AS dan Israel sahaja,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_04/Boikot-besar-besaran-barangan-Israel,-Amerika-Syarikat#ixzz39OhH1Iu2
© Utusan Melayu (M) Bhd