Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2075) UTUSAN 4/8/2014- Jaminan kekal tarif air legakan penduduk Selangor – PPIM
04 Aug 2014

Jaminan kekal tarif air legakan penduduk Selangor


KUALA LUMPUR 3 Ogos – Jaminan kerajaan negeri Selangor dalam mengekalkan kadar tarif air sehingga empat tahun lagi khususnya di Lembah Klang merupakan berita gembira bagi rakyat Selangor terutama dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, langkah itu juga menunjukkan sikap prihatin Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Bagaimanapun saya mengharapkan kadar tarif ini akan kekal dalam jangka masa yang panjang dan bukannya tertumpu dalam masa empat tahun ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang memberi jaminan kadar tarif air tidak akan dinaikkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun akan datang berikutan kejayaan penstrukturan semula industri air Selangor yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan industri tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut menyokong tindakan kerajaan negeri serta mengharapkan kadar tarif tersebut kekal meskipun melebihi tempoh empat tahun.
“Saya kira, langkah ini memang bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat yang selama ini menyokong perjuangan kerajaan negeri. Jadi ini merupakan satu penghargaan kepada rakyat khususnya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Norizuan Yusoff menyarankan agar kerajaan negeri mewujudkan satu dokumen yang sah terhadap jaminan tarif tersebut.
“Hal ini untuk dijadikan bahan sokongan sekiranya berlaku sebarang pertukaran kepemimpinan dalam tempoh masa yang ditetapkan itu.
“Kami mengharapkan tempoh masa jaminan itu dilanjutkan sehingga beberapa tahun lagi ataupun dikekalkan terus,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_22/Jaminan-kekal-tarif-air-legakan-penduduk-Selangor#ixzz39OjMUrFJ
© Utusan Melayu (M) Bhd