Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2077) UTUSAN 5/8/2014- Wan Azmi perlu beri penjelasan – PPIM
05 Aug 2014

Wan Azmi perlu beri penjelasan 

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah diminta tampil memberi penjelasan sama ada syarikat konsesi air itu bernilai RM250 juta dan bukannya RM2.5 bilion seperti yang didakwa beberapa pihak.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu adalah untuk memberi keadilan kepada diri beliau sendiri agar tidak timbul salah faham dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, Wan Azmi perlu diberi peluang untuk memberi penjelasan memandangkan isu berkenaan mempunyai implikasi yang besar kepada pihak-pihak terbabit.
“Saya cadangkan Wan Azmi dan semua pihak yang dikaitkan dalam isu ini mengadakan sidang akhbar khusus bagi meleraikan segala keraguan yang timbul.
“Rakyat ingin memperoleh maklumat yang tepat dan betul namun sehingga kini, kita masih terpinga-pinga kerana ada banyak maklumat berbeza daripada sumber rasmi, tidak rasmi dan separuh rasmi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 26 Julai lalu, Ketua Pemuda Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb), Norizwan Mohamed meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan mengatakan beliau telah mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya membeli Splash pada harga RM2.5 bilion berbanding tawaran asal sebanyak RM250 juta.
Menurut Norizwan, terdapat beberapa dakwaan yang turut mengaitkan keengganan Abdul Khalid memenuhi permintaan itu menyebabkan desakan daripada PKR untuk beliau berundur daripada jawatannya dan digantikan dengan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semakin kuat.
Persoalan sama turut dibangkitkan pengendali portal Malaysia Today (MT), Raja Petra Kamarudin yang mendesak Abdul Khalid memberi penjelasan sama ada Anwar ingin memberi tekanan terhadapnya berikutan proses pembelian Splash.
Raja Petra turut mendakwa, Langkah Kajang yang bertujuan menyingkirkan Abdul Khalid dilaksanakan bagi menghalang beliau daripada menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor bersama kerajaan Pusat.
                               
Walau bagaimanapun, kerajaan PKR Selangor dan kerajaan Pusat telah menandatangani perjanjian tersebut pada 1 Ogos lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140805/dn_13/Wan-Azmi-perlu-beri-penjelasan#ixzz39UjrFEvf
© Utusan Melayu (M) Bhd