Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2273) MYNEWSHUB – 19/12/2014 – Stesen Radio Didakwa Hina Islam, NGO Buat Laporan Polis
24 Dec 2014

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan tindakan sebuah stesen radio, membincangkan secara terbuka isu sensitif berkaitan kalimah Allah, daging korban dan hak orang Melayu.
Laporan polis dibuat oleh Pekida Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pewaris dan Kelab Intelek & Pendidikan terhadap stesen radio BFM, saluran 89.9 di Balai Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
Penyampai radio BFM, Sharaad Kutin serta Umapagam Ampikaypagan dan Caroline, dalam satu slot yang disiarkan di stesen berkenaan, dikatakan telah membincangkan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk soal pemakaian tudung bersama pemanggil bernama Ezra dan Patrick Teoh, pada 12 Disember 2014, jam 6 petang hingga 7 malam.
Muhammad Yusuf Azmi dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, “Ketika mendengar siaran tersebut di rumah, saya dapati terdapat unsur penghinaan dan hasutan terhadap agama Islam.
“Kita sebagai penduduk di Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, seharusnya menghormati satu sama lain terutama agama rasmi negara ini iaitu Islam.”
Tambahnya, tindakan stesen radio tersebut dilihat melanggar akta perlembagaan pengguna di Malaysia, di mana isu berbaur rasis boleh mewujudkan sentimen perkauman dan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat.
“Kami menggesa agar Akta Hasutan 1948 dihormati dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mesti menyiasat sedalam-dalamnya penyampai radio dan stesen berkenaan supaya perkara ini dapat dibendung sebaik mungkin.
“Perkara ini tak sepatutnya berlaku dan kita anggap ini mungkin strategi golongan liberal yang menentang keputusan berkaitan kalimah Allah, walaupun telah diputuskan oleh mahkamah,” ujar Mohd Mustaffa Hamzah dari PPIM.
Ujarnya, “Perkara ini dilihat dapat memporak-perandakan hubungan kaum di Malaysia dan mereka bukan sahaja telah mencabar keputusan mahkamah, bahkan kedaulatan Islam itu sendiri.
“Kita sememangnya bebas bersuara namun di dalam masyarakat majmuk Malaysia, perkara ini tidak seharusnya di keudarakan stesen radio terbabit.”
Mewakili pendirian Pekida Malaysia, Syahrir Abd Aziz pula berkata, “Sebagaimana ditetapkan pada persidangan perwakilan baru-baru ini di Kelantan, Pekida Malaysia akan lebih agresif kerana Al-Quran sendiri mengatakan, mempertahankan Islam adalah tunggak utama bagi para pendakwah.”
“Jadi sekiranya ada unsur-unsur hendak mempolitikkan perkara ini, kami nasihatkan tidak perlulah, kerana agama adalah isu paling sensitif.”
“Pekida Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada pihak ingin memainkan isu-isu ini kembali terutama berkaitan kalimah Allah dan babitkan perkauman,” ujarnya.
Tindakan BFM didakwa, telah melanggar  beberapa peraturan termasuk  berkaitan kelulusan siaran apabila memaparkan topik agama Islam sedangkan antara syarat pemegang stesen radio berlesen adalah ‘tidak membekalkan kandungan yang bertentangan daripada budaya dan nilal moral aspirasi masyarakat’. – MYNEWSHUB.CC
Sumber : http://mynewshub.cc/2014/12/18/stesen-radio-bfm-didakwa-hina-islam-ngo-lapor-polis/