Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
23 NGO TUBUH BADAN BERTINDAK TENTANG HINDRAF – UTUSAN MALAYSIA – 27/4/2017
27 Apr 2017

utusan malaysia 27.4.2017.jpg 2

KUALA LUMPUR 26 April – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini bersetuju menubuhkan Badan Bertindak Melayu Islam (Bertindak) untuk menyeru semua umat Islam bangkit menentang kebiadaban pertubuhan haram Hindraf.

Bertindak yang diketuai peguam dan aktivis, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Hindraf sering mencabar dan menghina kedaulatan agama Islam di negara ini tanpa memikirkan soal sensitiviti umatnya.

“Sudah banyak kali mereka memalukan Islam dan terbaharu, mempertikaikan keputusan kerajaan memberi taraf penduduk tetap kepada pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara.

“Sehubungan itu, Bertindak juga mahu mencabar Hindraf menerusi desakan kepada kerajaan untuk menyemak semula taraf kewarganegaraan ahli-ahlinya sama ada mengikut Perlembagaan atau sebaliknya berdasarkan Perkara 17 dan Jadual 1 Perlembagaan Persekutuan,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini.

Yang turut hadir, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

Selain Perkasa dan MJMM, NGO lain yang turut terlibat me­nubuhkan Bertindak antaranya Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Pertubuhan-pertubuhan Pem­bela Islam (Pembela), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Dalam pada itu, Mohd. Khai­rul Azam menyatakan cabaran itu dibuat berdasarkan ahli-ahli Hindraf tergolong dalam 1.75 juta penduduk Malaysia bukan Melayu yang diberi taraf kewarganegaraan dari 1957 hingga 1970.

Jelas beliau, dalam tempoh tersebut, sesiapa yang diberi taraf kewarganegaraan perlu melakukan upacara angkat sumpah dan difahamkan mereka tidak menjalankan prosedur tersebut.