Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2321) BERNAMA – 04/01/2015 – Pendidikan Mencintai Alam Sekitar Perlu Diperkasa Atasi Masalah Banjir – NGO
06 Jan 2015

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) — Usah menunding jari dan perbaiki
disiplin diri agar menjadi insan yang bertanggungjawab menjaga alam
sekitar adalah antara intipati menarik di rancangan ‘Landskap’ di TV1
malam ini.

 
Dua tetamu khas diundang dalam rancangan itu yang memfokuskan isu
banjir iaitu Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof
Dr Ahmad Ismail dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan.


 
Mereka menyentuh faktor disiplin anggota masyarakat menjaga alam sekitar memainkan peranan penting mengatasi masalah banjir.

 
Banjir teruk melanda sembilan negeri khusus di Kelantan dikaitkan
dengan aktiviti pembalakan yang melampau yang menjadi penyebab bencana
menjadi lebih teruk.

 
Ahmad berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai inisiatif terutama dalam mendidik masyarakat untuk mencintai alam.

 
Katanya pendidikan seperti itu perlu diterap kepada masyarakat kerana bencana yang melanda perlu menjadi tanggungjawab bersama.

 
“Kami banyak mengadakan aktiviti dalam mendidik masyarakat. Kita
mendidik kanak-kanak sehingga golongan eksekutif. Kalau mereka
menghayati pengetahuan yang kita berikan kepada mereka, mereka akan
laksanakannya,” katanya.

 
Sementara itu Nadzim berkata institusi keluarga telah gagal mendidik anak-anak untuk menjaga alam sekitar.

 
Beliau berkata disamping pendidikan menjaga alam sekitar, pendidikan
daripada keluarga juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan
semangat cintakan alam.

 
“Rasa tanggungjawab kena ada. Sebab bila kita berdisiplin, kita tidak
akan buat perkara-perkara yang terlarang, maka masalah alam sekitar
tidak akan timbul,” katanya.

— BERNAMA 

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1097839