Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2427) HARIAN METRO – 21/01/2015 – Sokong Kenaikan Tarif Elektrik Ditangguh
21 Jan 2015

Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan menerusi penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun ini disambut baik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, langkah penangguhan kenaikan tarif elektrik itu mampu memberi impak besar kepada pengguna di negara ini.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan usaha berkenaan memandangkan tahun 2015 tahun penyesuaian untuk orang ramai kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan bermula April depan.
“FOMCA menyokong penuh usaha kerajaan untuk melaksanakan langkah penjimatan dalam menguruskan perbelanjaan termasuk penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik ini.
“Dengan penangguhan itu, secara tidak langsung kos operasi sesebuah syarikat juga akan berkurang berbanding jika harga tarif baru diperkenalkan.
“Kita harap, selepas ini tiada lagi alasan untuk peniaga menaikkan harga barang sesuka hati tanpa sebab yang wajar,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan tarif elektrik untuk industri sepatutnya tidak perlu dinaikkan langsung memandangkan harga minyak di pasaran dunia sudah pun menjunam.
Katanya, jika selepas tempoh penangguhan kerajaan mahu mengumumkan tarif baru, justifikasi perlu diberikan kepada orang ramai.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/25273