Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2450) UTUSAN MALAYSIA – 18/12/15 – KPDNKK NAFI TIDAK AMBIL TINDAKAN
18 Dec 2015

PUTRAJAYA 17 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menafikan bahawa pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes seorang lelaki yang dikurung selama empat jam berikutan pembelian empat te­lefon bimbit mence­cah RM10,000.
Ketua Setiausaha­nya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) selaku badan kehakiman bebas di bawah kementerian itu telah mengeluarkan penghakiman bahawa penjual telefon itu diperintahkan memulangkan RM5,000 dalam tempoh 14 hari bermula kelmarin.
Katanya, perintah itu dikeluarkan berikutan lelaki itu, Dipres Nasution Mohd. Arifin, 28, memfailkan aduan di TTPM setelah tidak berpuas hati ekoran dipaksa membayar RM5,000 terhadap pembelian empat telefon bimbit sedangkan harga asal ditawarkan adalah RM800.
“Selepas menerima penghakiman itu, Dipres Nasution bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke kedai penjual telefon tersebut dan membuat tuntutan.
“Penjual telefon itu telah memulangkan wang tunai RM5,000 manakala Dipres Na­sution turut mengembalikan keempat-empat telefon bimbit kepada kedai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pengalaman Dipres Nasution yang dikurung selama empat jam oleh beberapa lelaki tidak dikenali kerana tidak mahu meneruskan pembelian empat telefon bimbit di sebuah kedai di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur selepas tiba-tiba mencecah RM10,000 berbanding harga asal dipersetujui iaitu RM800.
Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya membayar RM5,000 kepada penjual telefon bimbit ter­babit selepas dia merayu supaya jumlah asal iaitu RM10,000 dapat dikurangkan.