Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2452) SINAR HARIAN – 18/12/15 – KES PLAZA KOTA RAYA BUKAN ISU PERKAUMAN
19 Dec 2015

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan untuk mensensasikan kes penipuan pembelian telefon pintar di Plaza Kota Raya sebagai isu perkauman.
Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi berkata, pihaknya melihat perkara ini adalah terkait dengan masalah kepenggunaan jadi ia tidak langsung melibatkan  unsur-unsur perkauman.
“PPIM menerima maklum balas hasil tindakan yang diambil berkenaan kes penipuan peniaga telefon pintar di Plaza Kota Raya.
“Ditegaskan kes tersebut dilihat dari sudut kepenggunaan, kami tidak menyokong mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.
“Kita telah banyak masalah, harus dilihat ke arah penyelesaian dan bukannya merosakkan ke arah ‎yang lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Muhammad Yusuf berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian Rabu lalu, di mana melibatkan seorang lelaki ditipu oleh seorang peniaga ketika membeli telefon pintar di Plaza Kota Raya.
Rabu lalu, seorang lelaki, Dipres Nasution Mohd Ariffin, 28, diletak  di dalam sebuah bilik kecil selama 4 jam oleh beberapa orang lelaki kerana enggan meneruskan pembelian 4 telefon bimbit di sebuah kedai.
Kejadian berlaku apabila dia tidak bersetuju untuk membeli ekoran harga telefon tersebut telah melonjak kepada RM10,000 berbanding harga yang dipersetujui iaitu RM800, RM200 bagi setiap unit.
Dia kemudiannya dikurung dalam bilik kecil di sebuah premis lain yang berada berhampiran dan dipaksa membayar harga yang diminta jika mahu “dibebaskan”.
Dia akhirnya dilepaskan setelah membayar RM5,000 bagi 4 telefon bimbit dengan jenis telefon tidak sama dengan pilihan asal.
Rentetan daripada kes ini, sekumpulan NGO Melayu ‘mengamuk’ dan mewartakan kawasan Plaza Kota Raya sebagai kawasan ‘panas’ yang mana ia melibatkan ‘permainan’ perkauman mengenai isu itu.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes-plaza-kota-raya-bukan-isu-perkauman-1.463573