Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2486) UTUSAN MALAYSIA – 29/12/15 – PESARA RUGI RM100,00 DITPU SINDIKET GORES DAN MENANG
29 Dec 2015

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM100,000 dalam tempoh hanya empat jam akibat tertipu dengan sindiket gores dan menang, Rabu lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Daud, 79, berkata, menjadi rutin hariannya untuk bersarapan di pasar pagi dan pada hari kejadian, dia didatangi seorang lelaki yang membantunya membuka pintu kereta.

Katanya, selepas membantunya membuka pintu, lelaki tersebut menceritakan tentang peraduan gores dan menang serta menawarkan hadiah menarik seperti kereta dan jongkong emas tetapi perlu membayar sejumlah wang.

Bagaikan terpukau dengan kata-kata lelaki itu, dia pulang semula ke rumah di Selayang untuk mengambil buku Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan membawa isterinya bersama untuk mengeluarkan duit simpanan.

“Lelaki terbabit turut membawa seorang wanita yang didakwa isterinya mengikuti kami dan sewaktu di bank, lelaki berkenaan menyuruh saya memaklumkan kepada pihak bank bahawa duit itu mahu digunakan untuk mengubah suai rumah.

“Apabila duit dikeluarkan, mereka terus mengambilnya dan membawa kami ke sebuah pejabat di Kepong dan diberikan dua set katil elektrik sebagai cagaran akan memulangkan duit itu pada Isnin ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya menerima kira-kira 150 aduan kes membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM15 juta sepanjang empat bulan ini akibat sindiket gores dan menang.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana sehingga kini tiada tindakan tegas yang diambil untuk membanteras sindiket tersebut.

“Mereka dilihat semakin berani menipu dan mengikut mangsa sehingga ke rumah. Malah, mereka juga mengumpan mangsa dengan menawarkan kereta mewah seperti Toyota Camry dan barangan seperti tilam jed dan perkakas elektrik.

“Kita akan mengumpul segala aduan daripada mangsa dan membawa perkara ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM), Polis Diraja Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pesara-rugi-rm100-000-ditipu-sindiket-gores-dan-menang-1.173896