Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2489) UTUSAN MALAYSIA – 29/12/15 – BERI KESEDARAN PENGGUNA
29 Dec 2015

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kementerian Kesihatan digesa memberi tahap ke­sedaran yang tinggi dalam kalangan orang ramai akan bahaya penggunaan kertas surat khabar untuk menutup atau membungkus makanan serta menyerap minyak daripada makanan yang digoreng.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, jika amalan itu dibiarkan berleluasa, rakyat dan kerajaan akan menanggung kesan kesihatan serta kos rawatan yang tinggi pada masa hadapan.
“Tanpa kesedaran dan penguatkuasaan oleh kementerian, amalan tersebut akan mengundang pelbagai jenis penyakit kanser yang menyebabkan kos perubatan meningkat. Jadi lebih baik kementerian bertindak dari sekarang sebelum risiko kanser menular.
“Peniaga atau pengendali makanan tidak boleh menggunakan alasan ini bagi menaikkan harga makanan kerana banyak lagi pembungkus makanan termasuk plastik yang selamat digunakan untuk tujuan tersebut,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan pengendali makanan agar tidak menggunakan kertas surat khabar untuk menutup atau membungkus makanan serta menyerap minyak daripada makanan yang digoreng kerana perbuatan itu menyalahi Peraturan 35 dan Peraturan 36, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Jelas Noor Hisham, kegagalan pihak-pihak terlibat untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kempen penggunaan pembungkus makanan yang selamat sepatutnya dijalankan sejak dahulu serta secara berterusan kerana masih ramai pengguna dan peniaga yang tidak tahu tentang amalan tersebut yang boleh membahayakan kesihatan.
Katanya, penggunaan kertas surat khabar bagi membungkus makanan merupakan cara yang banyak digunakan oleh peniaga atau pengendali makanan dan ia perlu diberi perhatian serius kerana amalan itu memberi kesan yang negatif kepada kesihatan masyarakat untuk jangka masa panjang.
“Ini kerana, kandungan toksik yang ada pada kertas surat khabar akan menyerap ke dalam makanan sekali gus mengundang risiko pe­nyakit kanser.
“Peniaga atau pengendali makanan pula gemar menggunakan kertas surat khabar bagi membungkus makanan kerana kosnya yang rendah. Sebab itu, kempen perlu dilakukan secara menyeluruh oleh kementerian bagi memberi mereka kesedaran akan bahaya tersebut,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/beri-kesedaran-pengguna-1.173907