KUALA LUMPUR, 17 Februari:
“Sepatutnya pihak TELCO kena bantu pengguna bukannya bebankan lagi mereka dengan caj yang melampau.”
Itu reaksi Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berhubung dakwaan kadar caj panggilan yang mahal oleh TELCO terhadap panggilan domestik.
Menurutnya, bebanan orang ramai terhadap kenaikan harga barang di pasaran pada masa ini sudah cukup memeritkan dan tidak perlu ditambah lagi dengan perkara lain.
Katanya, kelemahan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memantau aktiviti syarikat telekomunikasi terbabit jelas membuatkan mereka bermaharajalela mengaut untung berlipat kali ganda daripada pengguna yang terpaksa membayar walaupun tanpa kerelaan hati.
“Kita juga telah banyak kali menerima aduan awam berhubung perkara ini.
“Malah, bukan sahaja bagi mereka yang menggunakan khidmat prabayar (prepaid) sebaliknya, mereka yang turut menggunakan khidmat pasca bayar ada juga kami terima,” katanya.
Dengan mengambil contoh seorang pengadu yang datang ke pejabat LPKPM, Saharuddin berkata pengadu tersebut membuat aduan apabila dia terpaksa membayar bil sehingga beribu ringgit hanya kerana membuat panggilan beberapa kali kepada keluarganya ketika di tanah suci Mekah kerana mengerjakan umrah.
Katanya, caj yang dikenakan kepada pengadu sememangnya tidak masuk akal kerana di dalam bil yang diterimanya terdapat beberapa caj tersembunyi yang tidak dijelaskan.
Tambah beliau, semua itu berlaku gara-gara lemahnya sistem pemantauan oleh pihak berkenaan yang sekarang ini hanya memantau perkara-perkara tertentu dan tidak menyeluruh.
“Sudah tiba masanya SKMM bertegas dengan perkara ini ekoran rungutan daripada orang ramai yang tidak mahu ia berterusan.
“Jangan biarkan pengguna merasakan diri mereka terus tertipu gara-gara kelemahan sistem yang sebenarnya boleh diperbaiki,” ujarnya.
Saharuddin berkata demikian mengulas laporan eksklusif The Rakyat Post semalam bertajuk ‘Bongkar: Kenapa caj panggilan domestik mahal?‘ yang mendedahkan betapa pengguna terpaksa membayar kadar panggilan terhadap perkhidmatan itu dengan kadar yang mahal berbanding pengguna warga asing seperti Bangladesh.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa SKMM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya mengadakan kolaborasi bersama dalam menentukan kadar caj perkhidmatan talian telefon bimbit di negara ini.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata pemantauan perlu dibuat oleh pihak tersebut supaya pengguna tidak terus teraniaya dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang bernaung di bawah TELCO.
Menurutnya, mekanisme dalam mengukur kadar caj panggilan dan juga waktu perbualan ini penting kerana pada hari ini seolah-olah tidak ada pemantauan yang dibuat mengenainya.
“Untuk makluman kadar caj panggilan di negara ini adalah sangat tinggi berbanding dengan negara-negara lain.
“Mereka ini (syarikat telekomunikasi) sudah untung jutaan ringgit hasil daripada perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai dan tindakan mereka itu seolah-olah tidak ada sekatan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
“Saya hairan, mengapa perkhidmatan TELCO ini tidak dipantau dengan cara yang telus hingga mereka boleh mengenakan caj dengan sesuka hati,” katanya kepada The Rakyat Post.
Menurut sumber, rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka telah dianaktirikan apabila khidmat bagi caj perkhidmatan talian prabayar (prepaid) oleh beberapa buah syarikat telekomunikasi sebenarnya mahal dan tidak masuk akal.
Sumber itu mendakwa, rakyat Malaysia seolah-olah sedang berdepan dengan satu senario diskriminasi tanpa disedari apabila kegilaan mereka terhadap gajet dan terlalu taksub dengan pengiklanan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan talian yang membuat pelbagai promosi sebenarnya memerangkap diri mereka sendiri.
Malah, tinjauan turut dilakukan di sekitar ibu negara mendapati penyedia perkhidmatan talian telefon bimbit berlumba-lumba membuat promosi perkhidmatan mereka sehingga ada yang meletakkan caj panggilan IDD serendah 0.06 sen bagi setiap minit.
Ini menyebabkan pengguna di Malaysia terpaksa membayar caj panggilan domestik setinggi RM0.36 sen seminit, sedangkan rakyat Bangladesh di Malaysia menikmati kadar RM0.06 sen bagi setiap minit untuk setiap IDD yang dibuat ke negara mereka.