Sumber berkata, ahli perniagaan tersebut yang merupakan taikun dalam operasi hospital swasta baru-baru ini membeli sebuah syarikat farmasi utama dalam usahanya untuk mengawal pasaran ubat.
“Dia bayar RM50 juta untuk pastikan pengasingan berjaya sebab itulah perkara ini diperjuangkan bersungguh-sungguh sesuatu pihak.
“Ahli perniagaan itu telah membeli sebuah syarikat farmasi yang mempunyai francais di seluruh negara ketika isu pengasingan belum menjadi perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi di klinik swasta menjadi perdebatan hangat di media arus perdana dan dalam kalangan pengguna laman sosial kerana pelbagai kesan yang boleh berlaku sekiranya dilaksanakan.
Langkah tersebut menimbulkan pelbagai persoalan sehingga berlaku pertembungan pendapat antara doktor perubatan dan ahli farmasi.
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini berkata, pelaksanaan pengasingan dispensari adalah yang terbaik dalam menyaring pemberian ubat kepada pesakit dan mengurangkan risiko kesilapan memberi ubat oleh doktor.
Kenyataan itu bagaimanapun disangkal Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan alasan kemudahan perubatan di negara ini terutama di luar bandar masih belum bersedia untuk pelaksanaan cadangan itu.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap supaya kerajaan menolak cadangan itu kerana dikhuatiri menyebabkan monopoli pihak tertentu dalam penjualan ubat.
Menurut sumber itu, draf Rang Undang-Undang Farmasi (RUUF) yang dicadang dibentang di Dewan Rakyat juga seolah-olah cuba disembunyikan daripada dilihat oleh wakil-wakil persatuan doktor perubatan untuk penambahbaikan.
“Kenapa mereka perlu sembunyi perkara itu, saya rasa ada kaitan dengan tindakan ahli perniagaan berkenaan.
“Sepatutnya draf undang-undang itu diteliti terlebih dahulu untuk penambahbaikan kerana kerjasama antara doktor dan ahli farmasi sepatutnya wujud demi kebaikan sistem kesihatan negara,” tambahnya.