Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2529) BERNAMA – 20/03/2015 – Permudahkan Proses Bantuan Wang Bagi Usahawan Bumiputera – PPIM
27 Mar 2015

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) Selangor pada Khamis menggesa agensi yang terlibat dalam pengurusan dana usahawan Bumiputera agar mempercepatkan proses pengagihan bantuan tersebut.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata ini kerana para usahawan yang memohon bantuan daripada agensi-agensi berkenaan benar-benar memerlukan dana tersebut.
“Dari maklumat yang saya terima, kelulusan bantuan telah hampir RM1 bilion tetapi pengeluaran hanya sekitar RM64 juta, dan ada kes-kes yang telah melepasi dua tahun tetapi masih tiada bantuan yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini.
Nadzim berkata keadaan seumpama itu amat menyukarkan para usahawan dan harus diperbetulkan segera.
“Prestasi pegawai-pegawai harus dipantau dan saya menyeru para usahawan untuk memberikan nama pegawai yang tidak efisien kepada PPIM, di mana kita akan mengumpul nama-nama tersebut dan menyerahkannya kepada pihak kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nadzim turut menyokong sepenuhnya pengagihan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kepada usahawan Bumiputera.
“Saya harap pengagihan dana tersebut dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin supaya usahawan-usahawan yang terlibat tidak perlu menunggu lama,” kata beliau.
Pada 17 Mac, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Husni Salleh berkata TERAJU akan menyalurkan RM1.5 bilion kepada syarikat Bumiputera berprestasi tinggi (TeraS) tahun ini.
— BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1118783