Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2559) UTUSAN MALAYSIA – JUDI SMS : TELCO PERLU BERTANGGUNGJAWAB
13 Feb 2016

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA 12 Feb. – Meskipun telah banyak kali isu berkenaan perjudian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dibangkitkan, namun sehingga kini masalah itu tidak selesai, malah semakin berleluasa dan menjadi ‘barah’ dalam kalangan masyarakat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat, permasalahan itu berlarutan kerana nombor yang digunakan untuk menghantar SMS judi kepada orang ramai didaftarkan di atas nama individu lain yang tiada kaitan.
Katanya, disebabkan itu, sukar untuk pihak berkuasa menjejaki dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab menghantar SMS judi kepada orang ramai.
Jelas Nadzim, perkara itu berpunca daripada proses pendaftaran nombor telefon bimbit di negara ini yang terlalu ‘longgar’ sehingga membolehkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan MyKad individu lain untuk berbuat demikian.
“Ini masalah serius, sudahlah tawar perjudian menerusi SMS, mereka tawar lagi ‘modal permulaan’ berbentuk kredit untuk menggalakkan penerima pesanan berjudi. Lebih teruk apabila turut menyediakan kemudahan pinjaman ‘ah long’.
“Perkara ini sudah menular sehingga ke pejabat, apabila waktu rehat mereka ‘berjudi’ guna telefon bimbit dan wang kemenangan akan dihantar secara terus kepada pemenang. Berjudi ini ketagihannya luar biasa, sanggup tinggal rumah, anak dan bini.
“Kalau dulu, orang takut mahu berjudi sebab perlu pergi ke pusat judi, tetapi hari ini hanya menggunakan telefon bimbit sudah boleh berjudi, di mana-mana boleh, sampai ke bilik tidur pun boleh. Dalam hal ini, kami berpendapat syarikat telekomunikasi perlu bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (Perbit), Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia (KIPM) dan Yayasan Patriot Malaysia mengenai perjudian melalui SMS di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nadzim mencadangkan supaya tindakan tegas seperti kompaun berjumlah RM100,000 dikenakan kepada syarikat telekomunikasi yang mendaftarkan setiap nombor tidak mengikut prosedur sepatutnya.
“Ini penting, supaya setiap kali mahu mendaftarkan nombor, syarikat telekomunikasi dan ejen-ejen mereka akan lebih bertanggungjawab. Sekiranya nombor yang didaftarkan itu didapati terlibat dengan perjudian SMS, maka, syarikat telekomunikasi boleh dikompaun sehingga RM100,000,” jelas beliau.
Perkara itu disokong oleh Presiden Perbit, Mohd. Ali Ibrahim yang turut mencadangkan supaya sistem pendaftaran nombor telefon bimbit mencontohi sistem pembukaan akaun bank iaitu dengan menggunakan biometrik.
“Ini sahaja caranya. Dengan ini individu tidak boleh suka-suka mendaftarkan nombor menggunakan nama atau kad pengenalan orang lain. Prosedur pendaftaran menggunakan sistem biometrik ini lebih teratur,” katanya