Desakan itu dibuat persatuan pengguna bagi memastikan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak sebulan lalu mencapai objektif memberi kesejahteraan kepada rakyat, bukannya menjadi beban akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.
Yang Dipertua Persatuan Ke­selamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kajian pihaknya mendapati masih terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaan GST sehingga membawa kepada tsunami kenaikan harga berikutan tindakan peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan.
“Sepatutnya GST itu dibayar oleh pengilang, bukannya sepanjang proses pengeluaran sesuatu produk sehingga akhirnya peniaga mengenakan caj enam peratus itu kepada pengguna sehingga membebankan mereka.
“GST bukan punca kenaikan harga, tetapi disebabkan oleh peniaga yang mengambil kesempatan. Kerajaan perlu bertegas dalam menangani golongan yang tidak bertanggungjawab ini, jangan beri muka sebab mereka juga tidak pernah memikirkan penderitaan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pelaksanaan GST sebanyak enam peratus mulai 1 April lalu merupakan penambahbaikan terhadap sistem percukaian negara yang sebelum ini menggunakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar sehingga 16 peratus.
Sejak dilaksanakan, Restoran Hameeds Corner yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam merupakan premis pertama yang didakwa terhadap lima pertuduhan membabitkan kesalahan di bawah Akta GST 2014.
Restoran berkenaan didakwa mengeluarkan kira-kira 2,000 invois cukai yang tidak mengandungi butir yang ditetapkan mengikut Seksyen 22 akta tersebut, bulan lalu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, tindakan sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab itu sekiranya dibiarkan berterusan hanya akan merosakkan ekonomi negara dan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Katanya, meskipun kerajaan telah menyenaraikan pelbagai jenis barang keperluan yang tidak dikenakan GST, namun masih banyak peniaga yang ingkar seolah-olah mereka mempunyai kuasa untuk menentukan harga barang.
“Objektif GST adalah memberi pendapatan kepada kerajaan yang akan disalurkan kembali kepada rakyat tetapi perkara baik ini telah dirosakkan oleh peniaga yang mengaut keuntungan sesuka hati.
“Kalau pelaksanaan itu baik, rakyat tidak akan mengeluh seperti yang berlaku sekarang sebaliknya mereka sebenarnya kecewa kerana penguatkuasaan sangat lemah dan tidak menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pelaksanaan GST telah memperlihatkan sikap kebanyakan peniaga di negara ini yang suka mengambil kesempatan daripada dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan.
“Kalau penguatkuasaan menyeluruh, pihak berkuasa pasti akan dapat mengesan peniaga-peniaga ini, malah kami dimaklumkan banyak peruncit kecil-kecilan turut mengenakan caj enam peratus kepada pelanggan mereka,” katanya.