Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2618) UTUSAN – 06/05/15 – Kerajaan Perlu Tegas Isu Harga Kad Prabayar
06 May 2015

KUALA LUMPUR 5 Mei – Kerajaan diminta bertegas dalam mengekalkan arahan pelaksanaan harga tambah nilai kad prabayar telefon dengan formula ‘beli RM10, dapat RM10’ yang dibuat sejak 1 Mei lalu.
Ketua Aktivis Persatuan Peng­guna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengekalkan harga itu walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia harus menggunakan segala bidang kuasa yang ada bagi memastikan pengguna tidak dibebani caj tambahan selepas GST dikenakan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang terletak di bawah kementerian ada kuasa untuk mewujudkan akta terma­suklah mengawal harga dalam isu pembelian kad tambah nilai prabayar telefon.
“Tidak timbul isu bahawa perkara itu mesti dirujuk terlebih dahulu kepada syarikat telekomunikasi. Malah, kerajaan ada kuasa membatalkan lesen syarikat telekomunikasi yang tidak mahu mengikut peraturan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau ditanya berhubung gesaan agar kerajaan bersikap tegas dalam mengekalkan pelaksanaan harga kad tambah nilai prabayar telefon yang telah dibuat itu.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan bertemu dengan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi bagi membincangkan mengenai perkara itu beberapa hari lagi.
Dalam temu bual rancangan Suara Kita Hak Kita terbitan RTM itu, beliau menjelaskan, kerajaan akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula tersebut.
Kata Nadzim, langkah itu bukan sahaja akan melegakan banyak pihak, malah ia juga akan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap kredibiliti dan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan mereka.
“Kerajaan harus ingat bahawa ini adalah permintaan majoriti rakyat dan ia perlu diambil serius kerana mereka akan ‘menterjemahkannya’ dalam kertas undi pada Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut bersetuju agar kerajaan mengekalkan formula ‘beli RM10, dapat RM10’ meskipun terpaksa menggunakan apa juga formula dan mekanisme pelaksanaannya.
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu lebih mengutamakan keluhan majoriti pengguna berbanding syarikat komunikasi yang hanya mengutamakan keuntungan semata-mata.
“Kebanyakan pengguna kad tambah nilai prabayar telefon adalah pelajar dan rakyat yang berpendapatan rendah. Malah, lebih separuh pengguna telefon bimbit di negara ini menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gst-motosikal-kuasa-kecil-perlu-dikaji-1.87915