Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2643) SINAR HARIAN – 16/05/15 – Dedah Pelaburan, Elak Langgar Patuh Syariah
16 May 2015

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Lembaga Tabung Haji (LTH) mendedahkan semua pelaburannya kepada pendeposit bagi memastikan syarat patuh syariah tidak dilanggari oleh entiti tersebut.
 
Ketua Aktivisnya, Datuk Nazim Johan berkata langkah itu perlu bagi mengembalikan keyakinan pendeposit susulan urus niaga hartanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menimbulkan meragukan.
 
“Kalau ikutkan (syarat pelaburan) Tabung Haji mestilah patuh syariah, pendeposit perlu dimaklumkan agar tidak timbul keraguan.
 
“Kita takut jika pelaburan itu ke atas hotel, dan hotel itu disewa kepada pengusaha yang menjual arak, ia jelas tidak kena dengan patuh syariah dan ia perlu dikaji semula,” katanya kepada Sinar Online, di sini, semalam.
 
Mengulas lanjut, Nazim berkata lagi, pendeposit akaun Tabung Haji berhak mengetahui pelaburan wang mereka agar simpanan untuk ke tanah suci Mekah tidak tercemar.
 
“Pendeposit Tabung Haji perlu tahu ke mana wang mereka dilaburkan. Kalau ada rekod menunjukkan pembelian itu (pelaburan hartanah) telah mencabuli hak pendeposit, maka seharusnya tindakan itu diambil.
 
“Saya memang tidak setuju jika pembelian itu (pelaburan) berat sebelah dan memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu saja.
 
“Dalam konteks ini, mungkin ada kebenaran, juru audit perlu membuat semakan kepada pelaburan Tabung Haji,” jelasnya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/dedah-pelaburan-elak-langgar-patuh-syariah-1.390640