Timbalan Presiden Ga­bungan Persatuan-Persatuan Pengguna Ma­laysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, peningkatan harga rokok yang tertinggi dalam sejarah sekitar RM3.20 itu bakal memberi kesan kepada perokok berikut harganya yang tinggi.
Katanya, langkah itu secara tidak langsung membantu kerajaan membendung golongan muda daripada berjinak-jinak dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan membahayakan kesihatan itu.
“FOMCA mengalu-alukan langkah drastik kerajaan dalam menaikkan harga rokok. Kenaikan harga bahan tembakau ini dijangka memberi kesan terhadap perbelanjaan harian perokok serta jumlah pengambilan rokok dalam sehari.
“Perokok tegar tetap akan terus merokok dan tidak beralih kepada rokok elektronik atau vape akibat kenaikan harga rokok. 
Namun, mereka akan terus merokok dengan mengurangkan perbelanjaan harian seperti makanan, persekolahan anak-anak dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, syarikat pengeluar tembakau, British American Tobacco Malaysia mengumumkan harga jualan baharu rokok keluaran syarikat itu meningkat sebanyak RM3.20 sekotak berkuatkuasa hari ini.
Syarikat itu memaklumkan, peningkatan harga itu disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan cukai eksais 40 peratus, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kesan besar yang dialami industri tembakau akibat peningkatan cukai rokok setahun lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan kawalan di sempadan negara berikutan wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan rokok pada skala besar.