Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, yayasan tersebut yang kononnya mempunyai dana berjumlah kira-kira AS$20 trilion (RM81.35 trilion) menjanjikan pemberian dana dengan peserta perlu membayar yuran pemprosesan serendah RM30 sehingga RM2,500.

Sehubungan itu, kata Nadzim, PPIM menggesa yayasan berkenaan tampil secara terbuka membuat pengakuan dan menunjukkan bukti kukuh sumber sebenar wang yang telah dijanjikan kepada penerima memandangkan telah menjalankan operasi sejak setahun lalu.

“Kami telah pun mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi yayasan tersebut semalam dan minta mereka untuk turut serta dalam sidang akhbar hari ini bagi menjelaskan perkara sebenar kerana jumlah pengguna yang telah sertai terlalu ramai, namun mereka tidak hadir.

“Justeru, kami menggesa mereka untuk berdepan secara terbuka dengan PPIM dan memberi penjelasan tentang sumber sebenar dana kerana kami difahamkan mereka dalam perancangan untuk menubuhkan pula sebuah lagi yayasan memandangkan yayasan sebelum ini dikatakan tidak dapat memberi dana seperti dijanjikan.

“Kita tidak mahu lebih ramai lagi menyertai program ini yang jelas mempunyai keraguan terutamanya melibatkan sumber kewangan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, pertemuan yang diadakan semalam merupakan pertemuan kedua PPIM dengan yayasan tersebut, namun kepemimpinan tertinggi yayasan itu masih gagal mengemukakan bukti kukuh mengenai sumber kewangan bagi pemberian dana.

“Kali pertama mereka datang sendiri berjumpa PPIM kira-kira empat bulan lalu untuk memohon sokongan kami tetapi apabila kami mempersoalkan sumber kewangan, mereka mengatakan menerusi urus niaga mata wang ­asing (forex) di Hong Kong de­ngan mengaut keuntungan kira-kira RM1 bilion seminggu.

“Namun, apabila berjumpa sekali lagi semalam, mereka mengaku sebagai mangsa pula kerana nama mereka telah digunakan oleh yayasan berkenaan dan atas dasar itu mahu menubuhkan sebuah lagi yayasan lain bagi proses pemberian dana,” katanya.