Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
613) BERITA HARIAN 26/8/12 : VIP mangsa along
28 Aug 2012

Headline: VIP mangsa along 
Publication: BM
Date of publication: Aug 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim; Nor Azizah Mokhtar
Kuala Lumpur: Orang kenamaan, ahli politik dan tokoh perniagaan, termasuk bergelar Datuk adalah antara yang hidup sengsara dan diselubungi ketakutan akibat diburu samseng upahan along kerana gagal melunaskan pinjaman masing-masing.
Ada antara mangsa dikatakan berhutang sehingga RM24 juta, tidak termasuk kadar bunga yang berlipat ganda dikenakan ceti haram itu.
Kebanyakannya membuat pinjaman untuk tujuan perniagaan berikutan kesukaran mendapatkan pinjaman atau disenarai hitam oleh bank.
Gagal bayar hutang
Akibat kegagalan membayar balik pinjaman, ada antara mangsa kehilangan harta benda, termasuk rumah, tanah dan kereta yang dicagarkan kepada ceti haram, selain ada yang cuba membunuh diri kerana tidak tahan diburu samseng along.
Ia sebahagian kisah kes peminjam along membabitkan golongan atasan, kebanyakannya ahli perniagaan yang dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Pegawai Unit Tindakan Khas Ceti Haram PPIM, Saharudin Bakar, mendedahkan pihaknya menerima purata lima aduan sehari, bukan saja membabitkan kegiatan along, bahkan syarikat peminjam wang berlesen.
“Bukan hanya orang susah dan kakitangan kerajaan, malah ahli perniagaan dan mereka berpangkat besar turut menggunakan khidmat ceti haram. Ada mangsa meminjam daripada lima hingga 70 ceti haram, termasuk seorang yang pinjamannya mencecah RM24 juta.
“Mereka menggunakan khidmat along selepas gagal mendapatkan pinjaman daripada bank berikutan syarat terlalu ketat, selain ada antara mereka disenarai hitam,” katanya.
Kebanyakan aduan membabitkan mangsa dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, dengan sebahagian besar berurusan dengan ceti haram paling ganas serta sukar berunding hingga terpaksa meminta bantuan PPIM sebagai orang tengah.
“Tahun lalu saja, sebanyak 4,500 kes dilaporkan kepada kami, dengan kebanyakan pengadu adalah ahli perniagaan, selain mereka yang berpendapatan RM6,000 hingga RM9,000 sebulan.
“Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah lelaki dan mereka enggan membuat laporan polis kerana malu.
“Sebahagian besar kes dilaporkan kepada PPIM berjaya diselesaikan, namun ia bergantung kepada komitmen mangsa. Kita tiada masalah dengan along, namun sikap mangsa yang tidak berterus-terang dan memberikan kerjasama menyebabkan timbul kerumitan,” katanya.
Bagaimanapun, ada mangsa masih tidak serik apabila kembali meminjam dengan ceti haram secara diam-diam walaupun selepas hutang lama sudah diselesaikan dengan bantuan PPIM.
“Ini masalah besar… jika keadaan ini berterusan, sampai bila pun masalah ini tidak boleh selesai,” katanya.