Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
650) BERITA UTAMA BERITA HARIAN 28/10/12 : 50,000 MUFLIS MUDA
28 Oct 2012

Byline / Author:
Oleh Sophia Ahmad
Kuala Lumpur: Lebih
50,000 orang muda berusia bawah 34 tahun diisytiharkan muflis di negara ini
dalam tempoh lima tahun lalu.
Kebanyakan mereka
bankrap disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman sewa beli kenderaan,
pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.
Mangsa tipu
Malah, ada juga yang
menjadi mangsa penipuan disebabkan penggunaan butiran peribadi mereka oleh
peminjam tidak dikenali.
Rekod Jabatan
Insolvensi Malaysia (MdI) juga menunjukkan jumlah kes muflis yang didaftar
meningkat hampir setiap tahun pada kadar 5.5 peratus setahun.
Bagi suku pertama
tahun ini 4,568 kes muflis baru didaftar dengan MdI. Daripada jumlah itu, 1,354
berumur di bawah 34 tahun, termasuk graduan baru kerja, kira-kira 30 peratus
daripada keseluruhan kes muflis dalam tempoh itu.
Kes peminjam muda
meningkat
Pendedahan
mengenainya dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dalam proses
mengumpul semua data berkaitan kes muflis di negara ini untuk membantu mereka
yang terbabit.
Menurut semakan
PPIM, daripada 4,568 kes muflis suku pertama tahun ini, 47 peratus adalah
Melayu, Cina (34 peratus), India (sembilan peratus), lain-lain kaum 10 peratus.
Jumlah bankrap
disebabkan pinjaman sewa beli kenderaan merangkumi 27 peratus, gagal melunaskan
pinjaman perumahan (24 peratus), gagal menjelaskan pinjaman peribadi (18
peratus), pinjaman perniagaan 14 peratus.
Setiausaha Kerja
PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata analisis pihaknya juga mendapati peningkatan
mendadak 585.8 peratus kes muflis membabitkan peminjam berumur 25 tahun ke
bawah bagi tempoh suku pertama tahun ini berbanding dua tahun lalu.
Akta kebankrapan
perlu dipinda
“Kajian kami
membabitkan jumlah kes difailkan di 21 cawangan MdI di seluruh negara sepanjang
suku pertama tahun ini berbanding suku pertama 2011 dan 2010. Cawangan Selangor
mencatat jumlah kes muflis tertinggi iaitu 1,053 kes atau 23.05 peratus
daripada 4,568 kes.
“Ini diikuti
cawangan Johor Bahru 819 kes atau 17.93 peratus, Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur 614 kes atau 13.4 peratus.
“Statistik
Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk
di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri
itu diisytiharkan muflis.
“Aliran ini
serius dan membimbangkan. Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung
masalah ini. Malah, PPIM mahu Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969
dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai,” katanya kepada BH.
Beliau menyifatkan
pengisytiharan muflis seperti menjatuhkan ‘hukuman mati’ kerana ia melumpuhkan
kehidupan seseorang, selain sukar untuk keluar daripada keadaan itu disebabkan
undang-undangnya yang terlalu kejam dan kaku.
Nadzim berkata, ada
mangsa tidak tahu butiran mereka digunakan orang lain untuk membuat pinjaman
sehinggalah menerima notis tuntutan bank.
Minggu lalu,
Pengurus Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),
Mohd Nasir Mustafa memberitahu 40 rakyat Malaysia berusia 30 hingga 40 tahun
diisytiharkan muflis setiap hari.