Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
652) BERITA : Didik generasi muda belanja ikut mampu
04 Nov 2012

Perubahan gaya hidup dan kos sara
hidup yang semakin meningkat terutama di bandar besar menyebabkan peningkatan
kes muflis sejak beberapa tahun lalu. Sebahagian besar daripada mereka pula
adalah generasi muda yang teruja menjalani gaya hidup mewah di kota besar
walaupun baru bekerja selepas tamat pengajian di universiti. Justeru, laporan
lebih 50,000 orang muda berusia 34 tahun ke bawah yang diisytiharkan muflis
dalam tempoh lima tahun lalu bukan sesuatu yang mengejutkan. Rekod Jabatan
Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan peningkatan jumlah kes muflis yang
didaftar pada kadar 5.5 peratus setahun. Ini tidak termasuk mereka yang
meminjam daripada along dan tidak mampu membayar balik pinjaman itu. Kebanyakan
orang muda ini dikatakan terperangkap dalam pinjaman yang diambil bagi membeli
kereta atau rumah, manakala yang lain menggunakan wang itu untuk tujuan
peribadi atau bagi membuka perniagaan. Namun, ada juga yang muflis kerana
menjadi mangsa penipuan berikutan butiran peribadi mereka disalah guna oleh
peminjam tidak dikenali.
Rekod yang dikumpulkan Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan daripada 4,568 kes muflis pada suku
pertama tahun ini, kira-kira 47 peratus peminjam terdiri daripada Melayu, 34
peratus Cina, sembilan peratus India dan 10 peratus kaum lain. Golongan
terbesar pula ialah peminjam dari Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur. Ini secara langsung menunjukkan peningkatan kos kehidupan di bandar
besar seperti sewa atau harga rumah, kos pengangkutan dan sara hidup lain
menyumbang kepada kes muflis. Dengan kadar inflasi yang semakin meningkat
akibat kenaikan harga barangan di seluruh dunia, rata-rata pemastautin kota
yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 hanya mampu menampung
perbelanjaan seisi rumah secara sederhana. Justeru, adalah wajar PPIM dan
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memantapkan usaha bagi mendidik
golongan terbabit mengenai gejala berbelanja di luar kemampuan. AKPK juga wajar
memberi khidmat nasihat dan bimbingan berterusan untuk mencari jalan keluar
daripada masalah hutang dan kemuflisan. Institusi kewangan sewajarnya berunding
dengan peminjam yang menghadapi masalah untuk menjadualkan semula pembayaran.
Aspek perundangan juga perlu dipinda supaya mereka yang bermasalah diberi
peluang membina hidup baru dan membayar pinjaman, bukan dengan
sewenang-wenangnya diisytihar muflis. Apa yang lebih penting, setiap individu
harus sedar kedudukan kewangan diri dan berbelanja mengikut keperluan.
MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 29/10/12
M/S: 22