Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
653) Muflis angkara henti bayar aset tak wujud
04 Nov 2012

Kuala Lumpur: Enggan membayar
untuk pembelian aset tidak wujud antara punca sesetengah individu diisytihar
muflis, sekali gus menunjukkan ada kelemahan dalam Akta Kebankrapan 1967.
Akta berkenaan tidak mempunyai
peruntukan untuk menimbangkan kes tertentu membabitkan defendan yang ditipu.
Antara mangsa kes sedemikian
ialah Suhaimi Hassan, 52, yang tidak pernah menyangka keputusannya membeli
rumah sebagai hadiah hari lahir isteri, Halimah Desa, 45, berakhir dengan
mereka diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua tahun lalu.
Ketika ditemui di pejabat
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, Suhaimi berkata, beliau
membeli rumah berharga RM40,180 melalui projek milik sebuah anak syarikat
kerajaan Selangor yang dibangunkan sebuah syarikat pemaju di Batang Kali pada
1997 dan membuat pinjaman bank sebanyak RM32,998.
Bank jelas bayaran rumah
“Pada 2000, saya menerima
surat daripada bank meminta datang mengambil kunci kerana bank sudah
menjelaskan keseluruhan harga rumah.
“Namun, apabila saya ke
pejabat anak syarikat kerajaan negeri itu, pegawai bertugas mengambil surat
pemberitahuan itu bersama semua resit bayaran air dan elektrik bagi rumah
berkenaan yang sudah kami bayar.
“Ketika itu, baru saya
tahu lokasi rumah terbabit sebenarnya sebuah lorong, bukan seperti tertera
dalam pelan asal projek itu,” katanya yang kemudian menyaman anak syarikat
kerajaan negeri itu pada 2002.
Suhaimi mendakwa, berkata,
mahkamah kemudian memerintahkan anak syarikat kerajaan negeri itu membayar
semula jumlah pinjaman dibuatnya dengan bank, namun beliau dimaklumkan pihak
bank yang mereka tidak pernah menerima bayaran berkenaan.
Pada 2004, katanya, beliau
membuat keputusan berhenti membayar ansuran bulanan rumah itu kerana tidak mahu
berbelanja untuk aset tidak wujud. Namun, tindakan itu mengundang musibah
apabila disaman bank beberapa tahun kemudian atas kegagalan membuat pembayaran
bulanan seperti dalam perjanjian.
“Pada Mei 2010, saya
diisytihar muflis. Apa yang saya hairan, bank dalam afidavitnya langsung tidak
menyebut perihal aset yang sama sekali tidak wujud itu, cuma menyatakan
kegagalan saya menjelaskan ansuran bulanan, sedangkan saya berbuat demikian
kerana aset yang dibeli tidak wujud,” katanya.
Kehidupan musnah
Suhaimi berkata, perisytiharan
muflis menyebabkan hidupnya musnah sekelip mata apabila lesen perundingnya
ditarik balik serta akaun bank dibekukan, menyebabkan mereka sekeluarga
terpaksa bergantung kepada belas ihsan ahli keluarga.
Ditanya sama ada masalah itu
pernah diadukan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Suhaimi mendakwa,
beliau pernah dinasihati pegawai jabatan itu supaya tidak membuat pembayaran
ansuran bulanan berkenaan kerana ia membabitkan aset tidak wujud.
“Menurut pegawai MdI itu,
bank tidak boleh menyaman saya kerana aset berkenaan tidak wujud dan saya tidak
sepatutnya diisytiharkan muflis dalam hal ini,” katanya.
Oleh: Sophia Ahmad
MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 3/11/12
M/S: 8