http://www.bernama.com/bernama/v6/newsindex.php?id=922947

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan pengguna mencadangkan agar Kementerian Kesihatan melantik farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar untuk menjual rokok elektronik, atau e-cigarette, di pasaran.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata,  rokok itu tidak membantu perokok tegar mengurang atau menghentikan sepenuhnya tabiat buruk mereka kerana ia turut mengandungi cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan yang memberi kesan ketagihan kepada perokok.

“Rokok elektronik kini boleh dibeli di mana-mana sahaja, dan sekarang wujud pula stokis dan agen menjual rokok elektronik di seluruh negara yang meraih keuntungan dengan cara yang salah, iaitu membahayakan kesihatan perokok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa Kementerian Kesihatan akan memantau rapi penjualan rokok elektronik di pasaran bagi memastikan ia tidak menjejas kesihatan penggunanya.

Sebelum itu, Pengarah kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan mengeluarkan kenyataan bahawa menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Nadzim berkata, rokok elektronik tidak mengeluarkan bau seperti rokok biasa selain menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dalam rokok, dan ia kini dijual secara berleluasa serta mendapat sambutan hangat di kalangan perokok.

“PPIM menyambut baik tindakan kementerian dalam mengawal penjualan cecair nikotin mengikut Akta Racun 1952, tetapi pada masa yang sama, semua pihak berkuasa perlu memastikan hanya farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar yang boleh menjual rokok berkenaan,” katanya.

Nadzim juga berkata, PPIM berharap kementerian tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku terhadap kempennya sebelum ini iaitu kempen ‘Tak Nak Merokok’ kerana gagal mencapai matlamat untuk menghentikan tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.   

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata pihaknya mahu Kementerian Kesihatan menjalankan kajian mendalam terhadap kesan sampingan kepada perokok elektronik.

“Buat masa ini, tiada kes dicatat atau dikaitkan dengan rokok elektronik ini, tetapi ia masih memberi ketagihan dan kemudaratan kepada perokok kerana mengandungi nikotin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam memastikan hanya mereka yang layak dibenar menjual rokok elektronik. – Bernama