Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
692) BERITA PPIM : BEKAS KERANI TANGGUNG HUTANG SYARIKAT RM80j
31 Jan 2013

Headline: Bekas kerani tanggung hutang syarikat RM80
juta
Publication: HM
Date of publication:
Jan 31, 2013
Section heading:
Main Section
Page number: 045
Kuala Lumpur: Gaji
RM2,000, tetapi terpaksa menanggung hutang RM80 juta. Itu berlaku kepada
seorang bekas kerani yang menanggung hutang syarikat selepas namanya digunakan
sebagai pengarah.
Dia kini bukan saja
buntu memikirkan masalah itu malah hidup tertekan mengenangkan beban yang
ditanggung gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat
milik majikannya sejak 1986.
Raziah Hussein, 56,
berkata, dia langsung tidak menyangka tawaran untuk menjadi pengarah syarikat
dengan tambahan elaun serta sebuah kenderaan daripada majikannya selepas 30
tahun berkhidmat sebagai kerani di situ akan menjerat dirinya.
Menurutnya, perkara
itu disedari selepas dia berhenti kerja bagi mengikut suaminya bertugas di
China pada 2003.
Dia dimaklumkan
mengenai satu saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah
institusi kewangan berjumlah RM80 juta.
“Selepas pulang
ke tanah air pada 2005, saya dipanggil ke Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI)
cawangan Johor dan terkejut sebaik diberitahu nama disenaraihitam kerana
berhutang RM38,000 sedangkan saya terima surat saman RM80 juta.
“Rupanya ada
kes hutang tertunggak lain menggunakan nama saya dan beberapa bekas rakan
sekerja menyebabkan saya keliru dengan apa yang berlaku,” katanya pada
sidang media bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua
Unit Tindakan Khas Pengguna PPIM, Dr Izham Nayan.
Raziah berkata, dia
diberitahu pegawai MdI bahawa tiada sebarang rekod mengenai saman RM80 juta
itu, yang ada hanyalah kes kedua menyebabkan dia tertanya-tanya status sebenar
kes pertama kerana bernilai puluhan juta ringgit.
“Kalau saya dan
anak berjawatan tinggi sekalipun, mustahil saya dapat melangsaikan hutang
sebanyak itu dengan umur yang semakin meningkat. Apa yang saya kesalkan ialah
bekas majikan seolah-olah tidak peduli kesan yang saya tanggung ketika ini.
“Belum selesai
masalah ini, saya terima surat saman lain kerana kegagalan syarikat membayar
hutang kad kredit dengan jumlah keseluruhan RM6 juta. Saya benar-benar keliru,
dalam keadaan tak mampu, timbul macam-macam masalah. Mujurlah suami dan anak
faham situasi ini,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis
Daerah Dang Wangi berhubung kejadian itu.
Sementara itu,
Nadzim berkata, pihaknya akan membawa kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara,
Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Mdl, Rohana Abdul Malek serta Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu
Kassim Mohamed bagi mencari jalan penyelesaian.
Katanya, pihaknya
sebelum ini menerima beberapa aduan sama termasuk membabitkan pakatan sindiket
iaitu institusi kewangan bagi mendapatkan projek atau tender tertentu.
“PPIM memandang
serius isu ini kerana ia berkaitan dengan integriti. Kita persoalkan bagaimana
perkara ini boleh berlaku, dokumen yang sepatutnya disimpan boleh hilang dan
ini meletakkan mangsa berisiko untuk dikenakan pengisytiharan muflis,” katanya.