Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
713) ARTIKEL PILIHAN : BESEDERHANA DALAM HIDUP
13 Apr 2013

Wasatiyah
berasal daripada perkataan Arab iaitu wasat yang bererti tengah ataupun
pertengahan. Boleh juga ditakrifkan sederhana atau kesederhanaan.
Wasatiyah
dalam kehidupan merujuk konsep kehidupan yang mengamalkan kesederhanaan iaitu
tidak keterlaluan.
Bagi
umat Islam, konsep kesederhanaan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang dapat
dilihat melalui setiap aspek. Contohnya dalam perbelanjaan, baginda
menasihatkan umatnya berbelanja secara sederhana, tidak terlalu berlebihan dan
tidak pula terlalu sedikit.
Hakikat
ini ada dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah engkau
jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkan
dengan sehabis-habisnya, akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang
tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra, ayat 29)
Orang
yang mengamalkan peraturan ini akan mendapat pujian daripada Allah seperti dijelaskan
dalam ayat 67 surah al-Furqan, maksudnya: “Dan mereka yang apabila
membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan
perbelanjaan mereka adalah betul sederhana.”
Baginda
juga mengajar umatnya mengenai kesederhanaan ketika makan, berpakaian dan dalam
beribadat kepada Allah.
Diceritakan
seorang sahabat, Abdullah bin Umar al-As pernah bercadang untuk melakukan
ibadat pada setiap waktu, berpuasa pada siang hari dan membaca seluruh isi
al-Quran pada malamnya.
Bapanya
mengahwinkannya dengan seorang wanita muda. Kemudian, bapanya bertanya pada
menantunya mengenai anaknya itu, lalu menantunya menjawab: “Dia adalah
seorang yang sangat warak dan tidak pernah tidur dengannya pada waktu malam
serta tidak pernah mengadakan hubungan dengan sesiapa pun.”
Mendengar
jawapan itu, bapanya sangat marah kepada Abdullah dan mengatakan kepadanya yang
dia mengahwinkannya dengan seorang wanita sangat baik, tetapi dia pula
meletakkan isterinya itu dalam kegelisahan sepanjang waktu.
Namun,
kerana terlalu asyik mengabdikan diri kepada Allah, dia tidak mempedulikan hal
itu. Bapanya mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW yang kemudian bersabda
kepadanya:
“Aku
mendengar kamu berpuasa pada siang hari dan bersolat pada sepanjang
malam.” Dijawab Abdullah bahawa khabar itu benar. Kemudian Rasulullah
bersabda lagi: “Janganlah buat begitu, tetapi sebagai gantinya berpuasalah
kadang-kadang dan makanlah kadang-kadang, solat dan tidurlah pada waktu malam
kerana badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, matamu mempunyai hak ke atas
kamu, kurang tidur akan melemahkan mereka manakala isteri, anak-anak dan
saudara-maramu juga mempunyai hak ke atas kamu.”
Keadaan
yang sama juga diceritakan Bukhari. Sesetengah sahabat Nabi SAW memutuskan
untuk beribadat kepada Allah sepenuhnya. Seorang mengatakan bahawa dia akan
bersolat sepanjang malam, seorang lain mengatakan dia akan berpuasa tanpa henti
manakala orang ketiga mengatakan dia tidak akan berkahwin seumur hidup dan
tidak akan berhubung dengan perempuan.
Rasulullah
SAW mengetahui hasrat mereka lalu bersabda maksudnya: “Aku bersumpah
dengan nama Allah bahawa aku takut kepada Allah dan aku menyedari
tanggungjawabku kepada-Nya melebihi tanggungjawab kamu tetapi begini caraku.
Kadang-kadang aku berpuasa dan kadang-kadang tidak. Aku bersolat dan tidur pada
waktu malam juga aku berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut caraku bukanlah
daripada golonganku.”
Anas
meriwayatkan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jangan menzalimi diri
sendiri, ada umat-umat tertentu yang menzalimi diri sendiri lalu Allah
menghukum mereka. Engkau dapat melihat kesan-kesan gereja dan biara
mereka.”
Nabi
Muhammad SAW tidak suka orang melakukan solat terus menerus serta memencilkan
diri, tidak bergaul dengan orang ramai dan menolak kemewahan hidup yang biasa.