Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
777) UTUSAN MALAYSIA 17 JUN 2013-Hasrat PMBOA naikkan tambang bas ekspres terus dikecam
17 Jun 2013

MOHD MUSTAFFA HAMZAH
KUALA LUMPUR 16 Jun –
Hasrat Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) menaikkan tambang bas
ekspres sehingga 30 peratus menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama
lagi terus dikecam kerana disifatkan tidak berasas.
Aktivis Pengguna,
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, hasrat
itu juga tidak selari dengan mutu perkhidmatan bas ekspres ketika ini yang
dilihat tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Kami menentang
keras desakan menaikkan harga tambang yang tidak munasabah itu apatah lagi
menjelang musim perayaan kerana jelas membebankan pengguna,” katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas
peringatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Hasan Malek semalam supaya PMBOA tidak menaikkan tambang bas ekspres sesuka
hati.
Sebelum ini,
Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali berkata, pihaknya terpaksa menaikkan tambang
bas ekspres sebanyak 30 peratus tidak lama lagi berikutan semakan semula yang
biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali sejajar dengan peningkatan
kos operasi yang didakwa kini mencecah sehingga 36 peratus.
Tambah Mohd.
Mustaffa, kerajaan sebelum ini memberi pelbagai bantuan dan subsidi kepada
pengusaha bas bagi menampung kos operasi mereka sekali gus tidak mewajarkan
desakan menaikkan harga tambang bas ekspres.
Malah, tambah
beliau, desakan itu juga tidak selari dengan usaha kerajaan menggalakkan orang
ramai menggunakan perkhidmatan awam.
“Sehubungan
itu, sekiranya PMBOA tetap dengan hasrat mereka, kita akan menggerakkan usaha
mengajak orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna memboikot
perkhidmatan bas ekspres,” katanya.
Sementara itu,
Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil
Abdullah berkata, pihaknya berharap PMBOA meneliti semula hasrat tersebut yang
dilihat cuba mengambil kesempatan menjelang musim sambutan Hari Raya
Aidilfitri.
Dalam masa sama,
tambah beliau, PMBOA perlu berbincang dengan pelbagai pihak seperti kerajaan
dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian
yang menguntungkan semua pihak dalam isu tersebut.
“Apa yang kita
persoalkan juga ialah kenapa harga tambang bas ekspres itu perlu dinaikkan
menjelang musim perayaan Aidilfitri dan bukannya selepas itu?” katanya.
Tambah beliau,
sekiranya PMBOA gagal memberi penjelasan kukuh berhubung kewajaran kenaikan
harga tambang itu serta terus berdegil dengan kadar kenaikan yang tidak
munasabah Desmma akan turut bersama-sama NGO lain memboikot perkhidmatan bas
ekspres.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_09/Hasrat-PMBOA-naikkan-tambang-bas-ekspres-terus-dikecam#ixzz2WRmrrTPW

© Utusan Melayu (M)
Bhd